WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kementerian Komunikasi Teliti Larangan Penggunaan Media Sosial Di Australia, Perancis

19/12/2024 03:34 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Kementerian Komunikasi sedang meneliti pelaksanaan larangan penggunaan media sosial bagi remaja berumur bawah 16 tahun seperti diluluskan di Australia pada bulan lepas, sebelum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan untuk mewujudkan undang-undang baharu mengenai perkara tersebut di negara ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata pihaknya turut melakukan penelitian terhadap pelaksanaan undang-undang di Perancis yang menetapkan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah 15 tahun perlu mendapatkan kebenaran ibu bapa.

“Setakat ini, kami masih meneliti bagaimana Australia dan Perancis hendak melaksanakan undang-undang itu kerana isu pertama adalah apabila ibu bapa beri telefon kepada anak-anak mereka, bagaimana kita hendak memastikan mereka bawah 13 dan 16 tahun itu tidak muat turun aplikasi media sosial dalam telefon mereka.

“Jadi siapa perlu semak dan apabila sesiapa menyalahi undang-undang memuat turun aplikasi media sosial dalam telefon mereka, siapa yang kita denda...kita denda ibu bapa, budak-budak tersebut atau denda  penyedia platform? Jadi memang ada banyak isu praktikal perlu kita teliti sebelum buat sebarang keputusan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Manolan Mohamad sama ada kerajaan bercadang membuat satu undang-undang baharu susulan Australia meluluskan undang-undang yang melarang penggunaan media sosial bagi individu berumur 16 tahun ke bawah yang akan dikuatkuasakan pada hujung tahun hadapan.

Teo berkata ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam mengawal penggunaan peralatan komunikasi oleh anak-anak mereka.

Katanya Kementerian Komunikasi sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi dan kementerian termasuk Kementerian Pendidikan dengan melaksana program seperti Klik Dengan Bijak untuk mendidik generasi muda supaya menjadi warganet bertanggungjawab dan menggunakan kemudahan internet dengan selamat.

“Laporan terkini menunjukkan bahawa untuk mereka berumur 13 hingga 17 tahun, separuh daripada mereka sebenarnya menghabiskan purata tiga jam sehari dengan telefon mereka. Saya rasa ini satu fenomena yang kita perlu ambil perhatian, dan ia memerlukan kerjasama semua pihak.

“Guru sekolah ada peranan mereka, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga mempunyai peranan dan, pada masa sama ibu bapa memainkan peranan sangat penting,” katanya.

Menjawab soalan asal Manolan mengenai had umur bagi pendaftaran akaun media sosial terutamanya dalam kalangan remaja dan kanak-kanak, beliau berkata majoriti pengendali platform media sosial menetapkan had umur sekurang-kurangnya 13 tahun untuk mendaftar sebagai pengguna melalui garis panduan komuniti.

Katanya bagi memastikan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan lebih menyeluruh dapat diambil dalam memerangi peningkatan aktiviti kemudaratan dalam talian, MCMC mengambil inisiatif dengan menetapkan syarat terhadap penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan internet untuk memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang akan berkuat kuasa pada 1 Jan depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan