WILAYAH - UTARA > BERITA

Dua Beranak Maut, Empat Cedera Dalam Kemalangan Di WCE

26/12/2024 09:33 AM

IPOH,  26 Dis (Bernama) -- Dua beranak maut, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 212.3 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menghala ke selatan dekat Manjung, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mangsa yang maut ialah Nor Fadhilah Mohd Azlan, 24, dan anak lelakinya yang berusia kira-kira dua tahun.

“Kedua-dua mangsa menaiki kereta Perodua Kelisa, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lelaki berusia 24 dan kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia tiga tahun yang menaiki kenderaan sama hanya mengalami kecederaan ringan,”  katannya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya dua mangsa lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Wira, mengalami kecederaan ringan. 

Sabarodzi berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 22 kilometer, selepas menerima panggilan pada 5.15 pagi.

Beliau berkata kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan.

Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan