WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Digesa Segerakan Penggubalan Akta Anti Ali Baba

19/12/2024 05:32 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Sosial dan Masyarakat (JKPK HESM) Majlis Dewan Negara menggesa kerajaan agar mempercepat penggubalan Akta Anti Ali Baba bagi menangani isu penguasaan warga asing dalam perniagaan kecil dan sederhana (PKS) yang semakin berleluasa. 

Pengerusi jawatankuasa itu Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata kegiatan warga asing yang memonopoli perniagaan kecil dan sederhana akhir-akhir ini memberikan impak negatif kepada peluang ekonomi penduduk tempatan, justeru tindakan penambahbaikan perlu dilaksanakan segera.

“Ramai orang mengadu perniagaan-perniagaan kita (warga tempatan) diambil alih oleh warga asing yang sepatutnya tidak boleh berniaga.

“Jadi kita kena pastikan bahawa kementerian terlibat, mungkin Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup atau pihak Jabatan Peguam Negara (boleh) merangka RUU (akta) itu dalam keadaan yang segera,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini bagi membentangkan penyata (laporan) jawatankuasa itu mengenai penguasaan warga asing dalam industri PKS. 

Mohd Hatta berkata penyata itu dikeluarkan hasil penemuan jawatankuasa dalam beberapa prosiding ke atas beberapa saksi dan lawatan kerja di lapangan, antaranya menerusi operasi bersepadu ke atas aktiviti perniagaan warga asing di pusat bandar utara Kuala Lumpur pada 1 Julai lepas. 

“Melalui hasil prosiding dan lawatan kerja itu itu, dapatan JKPK HESM ialah pihak berkuasa tempatan tiada kuasa untuk melaksanakan proses pembuktian dan mengenal pasti pekerja warga asing yang tidak mempunyai dokumen lengkap, selain mendapati modus operandi warga asing semakin licik dan sering berubah, menjadikannya lebih sukar dikesan oleh penguat kuasa,” katanya.

Selain itu, beliau berkata agensi dan jabatan penguat kuasa berdepan kekurangan tenaga kerja, kewangan dan logistik bagi menjalankan operasi dan penguatkuasaan secara berkesan serta perniagaan yang didaftarkan atas nama warganegara pula diserah, dipajak atau disewakan kepada warga asing menerusi amalan Ali Baba yang semakin berleluasa.

Sehubungan itu, selain penggubalan akta itu, Mohd Hatta berkata JKPK Hem turut mengemukakan beberapa syor termasuk mahu kerajaan mengkaji undang-undang sedia ada supaya kuasa untuk menyemak, menyiasat dan menangkap warga asing, diintegrasikan dan diturunkan kepada agensi-agensi penguat kuasa dengan Jabatan Imigresen sebagai penyelaras.

 Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sebelum ini menyatakan kerajaan sedang meneliti langkah penggubalan Akta Anti Ali Baba dan dalam proses melaksanakan kajian bagi menyediakan kerangka undang-undang berkenaan.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan