WILAYAH - SARAWAK > BERITA

APMM Aktifkan SAR Bot Nelayan Karam, Dua Kru Belum Dikesan

24/12/2024 06:22 PM

KUCHING, 24 Dis (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bot nelayan tempatan (VNT) bersama enam kru yang tidak dapat dihubungi selepas keluar ke laut pada 17 Dis lepas dipercayai karam di Pulau Burong, dekat sini.

Pengarah APMM Sarawak Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata setakat ini, dua kru yang merupakan warga Kemboja masih belum dikesan iaitu Oeun Van dan Thy Ny. 

“Tiga mangsa, Khlok Sem warganegara Kemboja serta Adikah dan Irman masing-masing warganegara Indonesia telah berjaya diselamatkan oleh VNT lain di kedudukan 3.5 batu nautika barat Pulau Burong dan dibawa ke Jeti Kampung Goebilt lebih kurang 6 petang semalam.

“Chaloem Sonada dari Thailand telah ditemukan selamat pada 3.30 pagi ini dan dibawa ke Klinik Kesihatan Asajaya untuk rawatan lanjut… operasi diteruskan bagi mengesan dua lagi mangsa (Oeun Van dan Thy Ny)  yang masih tidak dijumpai sehingga laporan ini dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata pencarian dimulakan sejak dua hari lepas dengan mengatur gerak aset Bot Pengawal 42 ke lokasi kejadian setelah menerima laporan pada 6.43 petang hari sama. 

Kamal Ariffin berkata Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin Ibu Pejabat Maritim Sarawak bermula hari ini.

Beliau berkata lokasi terakhir VNT dilaporkan adalah di kedudukan 7.5 batu nautika Timur Laut Tanjung Sipang sebelum mengalami kebocoran di bilik enjin. 

“APMM akan sentiasa bersiap siaga dalam apa juga situasi termasuk memberi bantuan kepada komuniti maritim walaupun dalam keadaan laut yang sangat bergelora,” katanya. 

Operasi berkenaan mendapat kerjasama Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan