WILAYAH - UTARA > BERITA

Parkir Bertingkat Akan Dibina Berhampiran Terminal Feri Kuala Perlis

20/12/2024 01:31 PM

KANGAR, 20 Dis (Bernama) -- Sebuah parkir bertingkat dengan kapasiti 690 lot parkir akan dibina berhampiran Terminal Feri Kuala Perlis, dekat sini dalam usaha meningkatkan kemudahan untuk pelancong, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK) Affendi Rajini Kanth.

Beliau berkata pembinaan parkir tujuh tingkat itu mendapat kelulusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan pembinaannya dijangka bermula tahun depan, dan dijangka siap pada 2026.

“Kami berterima kasih kepada KPKT atas kelulusan yang diberikan bagi membantu menangani masalah kekurangan parkir di kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang sempena 100 hari pentadbirannya sebagai Yang Dipertua MPK di sini.

Sementara itu Affendi berkata MPK akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menguatkuasakan larangan pembuangan sampah termasuk mengenakan kompaun secara terus di lokasi bagi kesalahan seperti membuang puntung rokok.

"Denda yang dikenakan antara RM10 dan RM50, bagaimanapun kita akan mulakan dengan proses mendidik masyarakat dari Jan hingga Mac 2025, sebelum menguatkuasakan larangan ini," katanya.

Sementara itu beliau berkata pihaknya berhasrat memohon kepada kerajaan negeri untuk menukarkan nama MPK kepada Majlis Perbandaran Perlis.

Affendi berkata nama MPK sering menimbulkan persepsi salah dalam kalangan umum bahawa kawasan perkhidmatan pihaknya hanya terhad di sini, sedangkan mereka bertanggungjawab bagi seluruh Perlis.

"Ini antara usaha kita untuk menjadikan Perlis sebagai bandar pintar, bukan sekadar Kangar tetapi seluruh negeri. Kami menjangkakan usaha penjenamaan semula ini akan dilaksanakan tahun depan,” katanya.

Sementara itu beliau berkata MPK akan melaksanakan sistem aplikasi pintar letak kereta bermula Januari ini dengan fasa awal melibatkan bandar ini sebelum diperluaskan ke seluruh Perlis dengan lebih 8,500 lot parkir akan disediakan menerusi aplikasi berkenaan.

“Aplikasi ini telah dibangunkan dan bersifat integrasi, yang membolehkan pengguna di Perlis dan luar Perlis turut mengakses perkhidmatan parkir pintar ini. Projek ini merupakan sebahagian usaha MPK untuk meningkatkan sistem pengurusan parkir yang lebih efisien,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan