WILAYAH - TENGAH > BERITA

KTMB Perkenal Tren MySawasdee Edisi Pulau Pinang Mulai 29 Dis Ini

21/12/2024 12:56 PM

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan perkhidmatan khas tren MySawasdee Edisi Penang dari Stesen Butterworth-Hat Yai-Butterworth yang akan beroperasi sebagai percubaan laluan bermula 29 Dis ini hingga 5 Jan depan.

KTMB dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan percubaan laluan itu bertujuan untuk menilai permintaan dan sambutan pengguna terhadap perkhidmatan tren khas berkenaan, sebagi perancangan pelaksanaan tren ke beberapa lokasi tumpuan di rangkaian State Railway of Thailand (SRT) pada masa akan datang.

Kenyataan itu menyebut bahawa perkhidmatan ini hanya menawarkan tambang sehala pada harga RM45, dan ia akan berhenti di beberapa stesen utama, termasuk Bukit Mertajam, Sungai Petani, Alor Setar, Arau, dan Padang Besar.

“Jualan tiket akan bermula Isnin ini (23 Dis), pada pukul 10 pagi. Masa berlepas dari Butterworth adalah pada 7.40 pagi dan dijangka tiba di Hat Yai sekitar 12.05 tengah hari waktu Thailand, manakala jadual perjalanan berlepas dari Hat Yai adalah pada 3 petang waktu Thailand dan tiba di Butterworth pada 9.46 malam,” menurut kenyataan itu.

KTM memaklumkan, pengenalan laluan baharu ini memberi peluang kepada penduduk di utara Semenanjung Malaysia dan pelancong dari Thailand untuk menikmati perjalanan yang selesa tanpa perlu menukar tren.

“Laluan ini dijangka memberi manfaat kepada pelancongan domestik dan antarabangsa, terutamanya dalam menarik lebih ramai pelancong dari Hat Yai ke Pulau Pinang, yang terkenal dengan warisan budaya dan keunikan makanan tempatan.

"Selain itu, laluan ini juga berpotensi meningkatkan sektor pelancongan domestik dan memberi impak positif kepada ekonomi tempatan, dengan manfaat kepada pelbagai perniagaan di kawasan-kawasan yang dilalui oleh tren ini," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, KTMB menggalakkan pengguna untuk merancang perjalanan mereka lebih awal dan mendapatkan tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), mesin kios, atau laman sesawang rasmi di www.ktmb.com.my. Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi pusat khidmat pelanggan KTMB di talian 03-9779 1200.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan