WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Setuju Teruskan Pemberian Penghargaan Khas Kepada Pesara - PM Anwar

21/12/2024 02:55 PM

SUBANG, 21 Dis (Bernama) -- Kerajaan bersetuju meneruskan pemberian Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) bagi mana-mana pesara dan penerima pencen terbitan yang telah menikmati PKKP, dalam usaha menjaga kebajikan golongan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dicapai Jemaah Menteri semalam. 

“Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa 1 Dis  lepas turut melibatkan penyelarasan pencen kepada pesara dan penerima pencen terbitan berdasarkan semakan gaji perkhidmatan awam selaras dengan Seksyen 3, Akta Penyelarasan Pencen 1980 (Akta 238).

“Amaun pencen akan diselaraskan berdasarkan peratusan pelarasan gaji ke atas gaji akhir pesara mengikut kumpulan perkhidmatan masing-masing secara berfasa pada 1 Dis 2024 dan 1 Jan 2026,” katanya dalam sidang media di sini.

Anwar berkata langkah meneruskan PKKP itu bagi memastikan golongan berkenaan menerima amaun yang lebih tinggi untuk menjaga kebajikan pesara dalam menangani kos sara hidup, sekali gus bukti keprihatinan Kerajaan MADANI selaras dengan konsep Ihsan.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi  Md Isa.

Keputusan Jemaah Menteri pada 20 Dis itu sekali gus menjawab persoalan kira-kira 900,000 pesara kerajaan yang menunggu penjelasan rasmi mengenai kadar pencen mereka, iaitu sama ada ia akan diselaraskan mengikut skim gaji baharu atau tidak.

Sementra itu Perdana Menteri berkata kadar upah merupakan isu yang sangat penting memandangkan pertumbuhan ekonomi juga haruslah selari dengan peningkatan gaji, dengan mesej ini haruslah ‘dicakna’ bukan sahaja kerajaan, tetapi juga syarikat swasta yang memperoleh keuntungan besar.

Anwar berkata beliau tidak boleh mendesak pihak swasta menaikkan gaji, namun telah menunjukkan contoh yang baik, bermula daripada ‘keluarga’ perkhidmatan awam sendiri menerusi penyelarasan gaji baru-baru ini walaupun melibatkan implikasi kewangan yang besar. 

“Kita mengharapkan dan menekankan supaya prestasi perkhidmatan awam meningkat, lebih cekap, telus dan mengelakkan daripada rasuah, penyelewengan, kelembapan, kita tekankan keras yang ini kemudian upah tidak naik, jadi bagi saya kurang adil.

“Sebab itu saya harap pihak swasta ambil contoh apa yang dilakukan kerajaan, kalau keuntungan dicatat baik, pulangkanlah sedikit kepada pekerja, kadar upah mesti ditingkatkan, kerajaan tidak patut campur tangan, tapi kerajaan harus beri bimbingan,” katanya.

Beliau berkata isu tatakelola pula tetap akan menjadi keutamaanya pada tahun hadapan, dan beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, semua Ketua Pengarah dan Ketua Jabatan untuk memantau dan membuat laporan sekiranya terdapat salah laku di bahagian masing-masing.

"Saya tidak izinkan amalam lama, rundingan terus, curi komisen, ini bukan mudah kerana kita berhadapan dengan sesuatu yang sistemik, ini bukan soal menteri sahaja, tapi pegawai ke bawah, soal tatakelola, pengurusan cermat,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan