WILAYAH - UTARA > BERITA

SPPP Sambut Baik Pemberian Subsidi Diesel, Ringankan Kos Operasi

21/12/2024 05:43 PM

GEORGE TOWN, 21 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) menyambut baik pengumuman Kementerian Pengangkutan berhubung pemberian subsidi diesel kepada pengusaha feri dan bot penumpang serta perkhidmatan Roll On Roll Off (RORO).

Pengerusinya Datuk Yeoh Soon Hin berkata subsidi itu sedikit sebanyak dapat meringankan kos operasi feri penumpang di Pulau Pinang. 

“SPPP dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan mengikut dan mematuhi syarat serta prosedur yang telah digariskan oleh kementerian untuk mendapatkan subsidi diesel.

“Selain itu kita juga akan menyahut saranan kementerian dengan mengekalkan harga tiket feri pada kadar yang sama,” katanya kepada Bernama hari ini.

Yeoh berkata ketika ini empat feri disediakan untuk penumpang dan motosikal yang berulang-alik antara Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) dekat Georgetown dan Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Butterworth dari pukul 6 pagi hingga 11 malam setiap hari.

Semalam Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengumumkan kerajaan akan memberikan subsidi diesel kepada pengusaha feri dan bot penumpang serta perkhidmatan RORO di tujuh pulau utama berkuat kuasa 1 Januari depan.

Beliau berkata kira-kira 40 pengusaha bakal menikmati subsidi berkenaan dan harga siling ditetapkan pada RM2.50 seliter dengan kadar maksimum subsidi 50 sen seliter.

Subsidi itu akan dibekalkan di laluan-laluan strategik perkhidmatan pengangkutan itu iaitu di Wilayah Persekutuan Labuan, Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Ketam, Pulau Tioman, Pulau Redang dan Pulau Pinang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan