WILAYAH - SARAWAK > BERITA

'Skuad Ihsan MADANI KLN' Digerak Bagi Laksana Misi Pengurusan Pasca Banjir

22/12/2024 04:59 PM

PUTRAJAYA, 22 Dis (Bernama) -- Kementerian Luar Negeri (KLN) menggerakkan ‘Skuad Ihsan MADANI KLN’ pada Ahad bagi melaksanakan misi pengurusan pasca banjir di kawasan-kawasan terjejas.

KLN dalam satu kenyataan memaklumkan majlis pelancaran Skuad Ihsan MADANI KLN itu telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan turut dihadiri oleh pegawai serta kakitangan kementerian.

“Skuad Ihsan MADANI KLN terdiri daripada 60 orang warga kementerian yang dibentuk bagi menyahut seruan Pelaksanaan Pasukan Sukarelawan Penjawat Awam Skuad Ihsan MADANI untuk Pengurusan Pasca Banjir.

“Ia selaras dengan arahan mobilasi oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam memperkasa peranan pasukan sukarelawan penjawat awam bagi pengurusan pasca bencana banjir,” menurut kenyataan itu.

Kementerian menjelaskan bahawa misi Skuad Ihsan MADANI KLN ini bertujuan untuk membantu membersihkan serta mengecat semula bangunan awam dan infrastruktur yang terjejas akibat banjir.

Inisiatif ini adalah hasil kerjasama erat dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Pendidikan Daerah Tumpat dan Majlis Daerah Pasir Mas.

Kementerian turut berharap usaha ini bukan sahaja dapat membantu mangsa banjir kembali menjalani kehidupan seperti biasa, tetapi turut mencerminkan solidariti dalam kalangan masyarakat dan penjawat awam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan