WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Krismas: Gereja Buat Persiapan Akhir, Ramai Pilih Pengangkutan Awam Untuk Balik Kampung

24/12/2024 09:04 PM

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Menjelang sambutan Krismas esok, pihak gereja di ibu negara sibuk membuat persiapan untuk mengalu-alukan kedatangan penganut Kristian yang ingin menyertai upacara keagaman malam ini.

Tinjauan di Gereja Our Lady of Fatima di sini mendapati petugas dan ahli gereja sibuk membuat persiapan akhir dengan menghiasi rumah ibadat itu bagi menyemarakkan lagi semangat sambutan Krismas.

Bertemakan merah dan hijau, warna yang sinonim dengan perayaan itu, hiasan seperti pokok Krismas diceriakan dengan pelbagai bentuk hiasan dan kalungan reben bagi memeriahkan lagi suasana Krismas.

 Petugas pentadbir gereja, Reverend Andrew Manickam berkata gereja tersebut akan menganjurkan dua sesi perhimpunan atau ‘misa’ iaitu pada 6 petang dan 10.30 malam serta satu sesi berasingan pada 8 malam yang dijalankan dalam bahasa Tamil.

“Kebiasaannya 300 hingga 500 pengunjung gereja akan hadir pada setiap sesi tersebut tetapi memandangkan sesi pada 10.30 malam berlangsung sejurus sebelum ketibaan Krismas, mungkin jumlahnya lebih ramai,” katanya. 

Sementara itu, pengunjung tetap gereja, Carmen Leslie, 25, berkata dia seronok untuk meraikan Krismas kerana suasana gereja di sekitar ibu negara lebih meriah dengan kehadiran pengunjung dan pelbagai akitiviti kumpulan.

“Antara yang paling saya suka ialah koir lagu-lagu Krismas yang biasanya telah bermula dari minggu pertama Disember lagi hinggalah malam menjelang Krismas. Kami akan pilih tema dan kadang kala kami buat persembahan di gereja atau di depan pintu rumah rakan-rakan,” katanya 

Titus David, 25, pula berkata dia seronok kerana dapat bertukar-tukar hadiah dengan rakan-rakan dan melihat riak wajah mereka yang girang apabila menerima hadiah yang tidak dijangka. 

“Kita memang tidak akan tahu apa hadiah yang kita dapat dan itu antara sebab saya seronok meraikan Krismas. Ia bukan tentang apa hadiah yang kita dapat tetapi tanda ingatan itu yang lebih penting,” katanya.

Sementara itu, cuti sempena Krismas yang serentak dengan cuti sekolah dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang ramai untuk pulang ke kampung halaman dengan menaiki pengangkutan awam sama ada bas ekspres atau Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi meraikan perayaan tersebut bersama keluarga tercinta. 

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan pengguna berpendapat bahawa pengangkutan awam bukan sahaja mengurangkan risiko kemalangan di jalan raya tetapi juga lebih ‘mesra poket’ berbanding memandu sendiri.

Pekerja swasta, Vivian Lee, 38, berkata buat julung kali dia membawa dua anaknya menaiki bas ekspres untuk pulang ke kampung di Butterworth, Pulau Pinang sempena Krismas berbanding memandu sendiri seperti sebelum ini. 

“Saya pilih untuk naik bas ekspres kerana tidak mahu berhadapan dengan kesesakan jalan raya seperti sebelum ini apabila pernah menempuh perjalanan lebih tujuh jam dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dan ia sangat memenatkan,” katanya ketika ditemui di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur di sini.

Bagi peniaga Darvin Rajput, 42, proses pembelian tiket yang semakin mudah dan efisien menjadi faktor utama dia memilih menggunakan perkhidmatan ETS untuk pulang ke kampung di Alor Setar, Kedah.

“Dahulu kita beli tiket di kaunter tetapi sekarang segalanya lebih mudah. Pengangkutan awam kita pun sangat selesa, selamat dan menjimatkan perbelanjaan,” katanya ketika ditemui di KL Sentral hari ini.

Penuntut universiti swasta, Edward Wong, 26, pula berkata pengangkutan awam bukan sahaja lebih praktikal tetapi juga memberi manfaat dari segi pengurangan pencemaran udara.

“Bila lebih ramai menggunakan pengangkutan awam, kita dapat mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya dan ini membantu mengurangkan pelepasan gas karbon berbahaya ke ekosistem alam sekitar kerana kebanyakan kenderaan kini menggunakan bahan bakar fosil,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan