KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Senarai calon yang akan bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029 pada kongres badan induk itu yang dijadual berlangsung 15 Feb depan akan diketahui selewat-lewatnya hujung Januari ini.
Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman berkata FAM sudah meng-e-melkan notis kongres dan borang pencalonan dengan tarikh tutup pada 16 Jan kepada kesemua ahli gabungannya semalam.
Beliau berkata senarai calon kemudiannya akan dihantar untuk proses tapisan integriti sebelum senarai akhir yang layak bertanding diumumkan.
“Kita sudah e-mel, tetapi mereka (ahli gabungan) tetap kena ambil borang pencalonan original dan kebanyakannya sudah ambil di Wisma FAM semalam dengan ada baki empat yang belum ambil lagi dan borang itu perlu dihantar selewat-lewatnya pada 16 Januari.
“Senarai itu kita akan hantar untuk proses tapisan dengan kerjasama SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Insolvensi Malaysia dan PDRM (Polis Diraja Malaysia),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sebagai rekod, Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) masing-masing digantung sebagai ahli gabungan FAM bulan ini, menyaksikan baki 18 ahli gabungan yang boleh membuat pencalonan.
Awal bulan ini, Tan Sri Hamidin Mohd Amin mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan presiden badan induk itu pada kongres akan datang selepas dilantik pada Julai 2018.
Sementara itu, Noor Azman menafikan penggantungan PFA dan KAFA mempunyai kaitan dengan pemilihan Jawantakuasa Eksekutif FAM 2025-2029 akan datang.
Beliau berkata penggantungan keahlian PFA pada 4 Dis lepas adalah susulan kegagalan persatuan itu mematuhi arahan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk membayar gaji tertunggak dan pampasan kontrak yang dituntut bekas Pengarah Bola Sepak PFA Matt Holland.
Penggantungan itu berkuat kuasa sehingga PFA membuat pembayaran penuh seperti yang diarahkan oleh FIFA.
Semalam, FAM mengumumkan KAFA digantung sebagai ahli gabungan badan induk itu berkuat kuasa serta-merta bermula Isnin lepas susulan Kongres KAFA dan pemilihan Jawatankuasa Eksekutifnya bagi penggal 2024-2028 adalah tidak sah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial