WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kempen Tani Shopee Tingkat Kejayaan Usahawan Agro Tempatan

26/12/2024 03:30 PM

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Shopee Malaysia baru-baru ini melancarkan Kempen Tani untuk memperkasakan petani tempatan, usahawan agro dan pengeluar menerusi alat serta sumber perniagaan yang diperlukan untuk berjaya dalam ekonomi digital sambil menghubungkan secara langsung produk dengan pembeli. 

Shopee dalam satu kenyataan memaklumkan kempen ini menyasarkan untuk meningkatkan rantaian nilai produk agromakanan dan pendapatan pengeluar makanan selain menggalakkan pengguna membeli terus daripada usahawan agro tempatan, seterusnya memupuk masa depan lebih mampan serta inklusif untuk industri ini.

“Program Kempen Tani menyaksikan hampir 100 penjual menghadiri bengkel yang dikendalikan oleh jurulatih ShopeeXpert bertauliah.

“Strim langsung turut diadakan … beberapa usahawan agro mempamerkan produk mereka kepada lebih 110,000 penonton di seluruh negara, menghasilkan peningkatan pesanan sebanyak sembilan kali ganda berbanding hari biasa pada November,” menurut kenyataan itu.

Shopee turut berkongsi pengalaman seorang daripada peserta kempen iaitu Nur Rahilla Mohamad Kamal yang juga pemilik Nanakamalbiz dari Kota Tinggi, Johor yang menjalankan perniagaan makanan ringan tradisional dan kini beliau lebih yakin untuk bersaing di dalam ekonomi digital serta memastikan perniagaannya mampu menarik lebih ramai pelanggan. 

Rahilla berkata potensi pasaran digital telah mendorong untuk beralih kepada perniagaan dalam talian  walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Sementara itu, Lai Nyuk Ling yang menjalankan perniagaan buah-buahan dikenali JK Biscuits di Bidor, Perak berkata kempen berkenaan telah meningkatkan permintaan jambu batu serta buah naga hingga ke Sabah dan Sarawak.

"Menyertai kempen Shopee termasuk Jualan 11.11 menjadi titik perubahan dengan memperoleh pendapatan RM4,000 dalam sehari - satu pencapaian yang meningkatkan keyakinannya terhadap e-dagang.

"Dengan Kempen Tani, penjual seperti Lai memperoleh ilmu untuk meningkatkan prestasi perniagaan mereka. Shopee Live, misalnya membolehkan beliau mempamerkan proses pembungkusan buah-buahannya yang mewujudkan kepercayaan dan ketelusan dengan pelanggan," menurut kenyataan itu. 

Selain itu, pengasas Corndog Anak Ramai di Kota Bharu, Kelantan, Wan Muhamad Biruni Wan Jamaluddin adalah contoh terbaik bagaimana kempen ini membantu perniagaan luar bandar berkembang dalam ekonomi digital.

Ciri-ciri seperti Shopee Live dan baucar membantu perniagaan Wan Muhamad untuk memperluas pasaran kepada isi rumah di kawasan bandar seperti Selangor, Johor dan Kuala Lumpur.

Beliau menyatakan kempen ini telah membantu ramai usahawan sepertinya mencipta peluang untuk keluarga dan komuniti mereka.

Sementara itu, Ketua Pemasaran dan Pengurusan Data Shopee Malaysia Tan Ming Kit berkata usahawan agro ialah teras sektor pertanian di negara ini dan daya tahan serta inovasi mereka terus mencetuskan inspirasi. 

"Melalui Kempen Tani, Shopee ingin terus memperkasakan lebih banyak usahawan dengan program latihan yang diperibadikan, kempen berinovatif serta insentif bernilai seperti Shopee Coins dan baucar untuk meningkatkan keterlihatan jenama dalam talian mereka.

“Inisiatif ini mewujudkan peluang untuk bersinar dan menyumbang kepada pembentukan masa depan lebih mampan serta inklusif. Kami merancang memperkenal lebih banyak sokongan dan sumber yang disasarkan untuk usahawan agro dalam beberapa bulan akan datang bagi mempertingkatkan keterlihatan dan membantu mencapai kejayaan," katanya.

Tan berkata pengguna boleh menyokong pengeluar tempatan dengan membeli produk melalui laman web mikro Kempen Tani di Shopee dan boleh menebus baucar eksklusif untuk menikmati penjimatan lebih hebat.

Shopee ialah platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan yang menggalakkan ekosistem digital yang inklusif dan mampan dengan membolehkan pendigitalan perniagaan dan mengembangkan kehadiran dalam talian. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan