WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kompetensi Makmal Forensik Digital SPRM Diiktiraf - Azam

19/12/2024 05:59 PM

PUTRAJAYA, 19 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan kompetensi makmal forensik digitalnya selepas memperoleh Sijil Akreditasi ISO/IEC 17025:2017 daripada Jabatan Standard Malaysia.

Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan hari ini berkata akreditasi tersebut  ditauliahkan kepada Bahagian Forensik Digital (BFT) SPRM pada 13 Nov lepas di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia.

Beliau berkata ia menjadi penanda aras keupayaan teknikal makmal forensik digital SPRM untuk menghasilkan keputusan analisis forensik yang tepat serta mematuhi aspek sistem pengurusan, pengesahan kaedah analisis, kawalan proses analisis dan kompetensi petugas makmal.

"Dengan akreditasi ini, hasil analisis forensik digital kita bukan sahaja diperakui di Malaysia tetapi juga diiktiraf di peringkat global, membuka ruang untuk kerjasama rentas sempadan dalam siasatan dan penyelidikan,” katanya.

Azam berkata akreditasi itu melibatkan empat skop iaitu forensik komputer; forensik audio video dan imej; forensik telefon bimbit; serta forensik tulisan tangan pengubahsuaian dokumen dan stamp impression.

"Dengan pencapaian ini, BFT kini mempunyai mandat untuk memastikan semua proses analisis forensik digital berjalan mengikut piawaian yang telah ditetapkan," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan