KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Mahkamah Tinggi Taiping memberikan ganti rugi RM1.8 juta kepada seorang bekas pengawal keselamatan, selepas lelaki itu mengalami kecederaan otak akibat kecuaian perubatan semasa rawatan akibat kemalangan motosikal pada 2016.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin membuat keputusan itu selepas mendapati P. Thinnagaran, 28, selaku plaintif berjaya membuktikan tuntutannya berdasarkan imbangan kebarangkalian dan membenarkan kebanyakan tuntutannya terhadap defendan.
“Mahkamah ini memberikan ganti rugi am, khas dan teruk dan defendan secara kolektif diperintahkan untuk membayar kepada plaintif sejumlah RM1.8 juta termasuk kos RM150,000,” katanya dalam penghakimannya yang dikeluarkan pada 24 Dis.
Thinnagaran memfailkan saman itu pada 2019, menamakan kerajaan, pengarah Hospital Taiping dan tiga doktor sebagai defendan atas kecuaian perubatan.
Dalam penghakimannya, Noor Ruwena berkata kes itu sememangnya suatu yang tragis yang kerosakan kekal, antara lain pada otak plaintif boleh dielakkan jika defendan telah mendiagnosis, merawat dan memantau beliau dengan lebih teliti, selepas lelaki itu dimasukkan ke Hospital Taiping, selepas kemalangan kenderaan bermotor pada 2 Jan 2016.
Beliau juga menyatakan bahawa kecederaan yang dialami di hospital adalah jelas berpunca daripada pelanggaran kewajipan jagaan defendan dan bukan disebabkan oleh sebarang kecuaian di pihak plaintif.
Noor Ruwena berkata mahkamah mendapati defendan pertama hingga ketiga (doktor), telah gagal di bahagian masing-masing dalam rawatan dan diagnosis plaintif untuk Sindrom Embolisme Lemak (FES) dan seterusnya dalam intubasi yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawanya.
“Kecederaan yang dialami oleh plaintif akibat pelanggaran kolektif kewajipan jagaan defendan juga boleh melibatkan trauma mental. Kesihatan mentalnya menderita dalam erti kata terdapat kecacatan kognitif. Plaintif tertekan dan bukan dirinya seperti biasa lagi selepas keseluruhan episod dan dia terpaksa bergantung pada orang lain untuk keperluan peribadinya,” katanya.
Hakim itu berkata dalam keadaan beliau sekarang, plaintif memerlukan bantuan ibunya sebagai penjaganya dan terpaksa berhenti kerja yang memberikan pendapatan RM1,300 sebulan.
“Plaintif, anak sulung daripada empat beradik dan tidak berpendidikan tinggi. Dia memperoleh RM800 sebulan sebagai pengawal keselamatan sebelum kemalangan itu dan disebabkan kecacatannya, dia tidak dapat kembali bekerja,” katanya.
Defendan telah merayu terhadap kesemua keputusan, dengan notis rayuan difailkan pada 2 Ogos tahun ini.
Mengikut fakta kes, Thinnagaran mengalami kecederaan akibat berlanggar dengan sebuah kereta ketika menunggang motosikalnya di Jalan Transkrian pada 1.05 tengah hari pada 2 Jan 2016.
Dia dibawa ke Hospital Taiping, dan langkah-langkah telah diambil untuk mencegah FES yang disebabkan oleh beberapa tulang panjang patah yang dialami akibat kemalangan itu.
FES ialah keadaan yang mengancam nyawa, dengan zarah lemak kecil daripada tulang patah atau kecederaan masuk ke dalam aliran darah, menyebabkan masalah pernafasan, kekeliruan dan bintik merah kecil pada kulit.
Walaupun terdapat risiko FES yang tinggi, didakwa bahawa keadaan plaintif tidak dipantau antara 2 pagi dan 6.50 pagi pada 3 Jan 2016, sebelum disahkan mengalaminya pada jam 7 pagi.
Doktor memutuskan untuk menstabilkan Thinnagaran sebelum meneruskan pembedahan pada 8 malam hari yang sama. Bagaimanapun, imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) menunjukkan Thinnagaran mengalami kecederaan otak akibat kekurangan oksigen dan aliran darah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial