WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kurang Garis Panduan Jelas Berkaitan Etika Cetus Kebimbangan Privasi - Pakar

26/12/2024 07:47 PM

PUTRAJAYA, 26 Dis (Bernama) -- Kekurangan garis panduan yang jelas mengenai kecerdasan buatan (AI) terutama dari segi piawaian etika, masih lagi menjadi kebimbangan utama ketika teknologi ini berkembang dengan pesat.

Eksekutif Pembangunan Perniagaan Basementality Sdn Bhd Kirill Korbout berkata kebimbangan semakin meningkat terhadap privasi, akauntabiliti dan potensi penyalahgunaan AI, selain menekankan bahawa terdapat maklumat tertentu yang perlu dihadkan daripada diakses pengguna.

“Garis panduan AI masih agak kabur. Apa yang kami lihat ialah teknologi ini telah dilancarkan tetapi kita tidak selalu membincangkan aspek etika kerana seperti yang anda tahu, setiap negara mempunyai cara atau budaya yang berbeza.

“... sejauh mana AI dibenarkan untuk mengakses dan mengambil maklumat, sebagai contoh penerbitan ini iaitu BERNAMA mempunyai pangkalan data maklumat yang besar. Adakah anda membenarkan AI untuk mengimbasnya, dan jika ya berapa kosnya,” katanya pada program The Nation terbitan TV Bernama hari ini.

Korbout turut mempersoalkan sejauh mana AI seharusnya diberi akses kepada data sensitif.

Beliau berkata tahun 2024 menyaksikan integrasi AI sebagai perkhidmatan terbina dalam platform utama termasuk iOS, Samsung, Microsoft dan Google.

“AI pada asasnya telah menjadi lapisan tambahan di atas perkhidmatan sedia ada, menyediakan pengguna dengan set alatan baharu,” katanya.

Basementality Sdn Bhd ialah sebuah syarikat antarabangsa yang memberi tumpuan kepada penyelesaian pengurusan projek yang mahir dan perkhidmatan peningkatan kakitangan, dengan menekankan proses yang lancar, pengembangan pasukan yang disesuaikan dan sokongan berasaskan kepakaran.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan