WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bursa Malaysia Dibuka Tinggi

27/12/2024 10:21 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini disebabkan aktiviti belian semasa harga murah yang berterusan dalam persekitaran petunjuk bercampur-campur daripada prestasi semalaman Wall Street, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9. pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 7.97 mata kepada 1,621.67 daripada 1,613.70 semalam.

Indeks barometer dibuka tinggi 3.86 mata kepada 1,617.56.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 180 berbanding 96 dengan 274 kaunter tidak berubah, 1,872 tidak diniagakan dan 40 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 133 juta saham bernilai RM73.76 juta.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee berkata aktiviti belian semasa harga murah memberikan sokongan yang amat diperlukan untuk Bursa Malaysia, ia ditutup melepasi paras 1,610 semalam.

“Bagaimanapun, volum harian yang diniagakan kekal rendah kerana jualan asing mungkin berkurangan, justeru menawarkan peluang yang cukup untuk indeks penanda aras itu meningkat lebih tinggi, dijangka melebihi paras 1,630.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan indeks berkemungkinan berlegar dalam julat 1,610-1,620 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional naik 40 sen kepada RM14.58, Maybank dan Public Bank masing-masing menambah dua sen kepada RM10.14 dan RM4.56, CIMB meningkat tiga sen kepada RM8.07 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM7.20.

Bagi saham aktif, Vanzo melonjak satu sen kepada 21.5 sen, Ta Win tidak berubah pada dua sen bagaimanapun JCY jatuh 0.5 sen kepada 55.5 sen manakala Winstar Capital menokok 2.5 sen kepada 67 sen dan MYEG menambah 0.5 sen kepada 95.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 42.54 mata kepada 12,422.12, Indeks FBM Emas Shariah menambah 60.70 mata kepada 12,414.19, Indeks FBMT 100 naik 50.34 mata kepada 12,112.95, Indeks FBM 70 menokok 43.09 mata kepada 18,610.97 dan Indeks FBM ACE naik 13.64 mata kepada 5,347.00.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 29.30 mata kepada 18,987.62, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.64 mata kepada 173.99, Indeks Tenaga meningkat 1.01 mata kepada 823.19, Indeks Perladangan melonjak 18.16 mata kepada 7,559.23.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan