WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Melaka Bentang Belanjawan 2025 Berjumlah RM585.7 Juta

27/12/2024 06:24 PM

MELAKA, 27 Dis (Bernama) — Kerajaan negeri membentangkan Belanjawan 2025 berjumlah RM585.7 juta pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini.

Ketua Menterinya Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata anggaran Perbelanjaan Mengurus adalah sebanyak RM497.7 juta manakala anggaran Perbelanjaan Pembangunan pula sebanyak RM88 juta.

“Anggaran hasil kerajaan negeri pula sebanyak RM498 juta membabitkan Hasil Cukai (RM177.3 juta), Hasil Bukan Cukai (RM279.7 juta) dan Terimaan Bukan Hasil (RM41 juta).

“Kerajaan negeri mengekalkan inisiatif belanjawan lebihan dengan anggaran Perbelanjaan Mengurus berjumlah RM497.7 juta iaitu RM15.9 juta bagi maksud tanggungan dan RM481.9 juta bagi maksud bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Seri Negeri di sini.

Ab Rauf (BN-Tanjung Bidara) berkata bagi anggaran Perbelanjaan Pembangunan sebanyak RM88 juta itu membabitkan RM57.1 juta daripada sumber hasil negeri dan RM28.4 juta daripada Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Geran TAHAP).

Beliau berkata selain itu, ia turut membabitkan RM2.5 juta daripada Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) dan token RM20 daripada Akaun Pinjaman Disatukan.

Ab Rauf berkata Belanjawan 2025 yang bertemakan Memangkin Pembangunan Terancang, Membina Masa Depan Gemilang adalah berlandaskan tiga agenda utama iaitu Kepelbagaian Ekonomi dan Pengukuhan Daya Saing, Kepedulian Masyarakat dan Transformasi Modal Insan Berkualiti serta Perkhidmatan Awam Cekap dan Berintegriti.

Beliau berkata Belanjawan 2025 akan dilaksanakan secara komprehensif melalui 12 tumpuan utama berdasarkan 11 portfolio Exco dan satu tumpuan khusus melibatkan perkhidmatan awam.

Katanya kerajaan negeri komited memastikan kutipan hasil terus meningkat termasuk melalui sumber hasil baharu bagi pelaksanaan program dan projek untuk manfaat rakyat.

“Syukur Alhamdulillah, 16 jabatan yang terlibat berjaya mengutip hasil sebanyak RM484 juta melebihi 100 peratus sasaran ditetapkan (pada tahun ini) manakala hasil tanah menyumbang 63 peratus kepada kutipan hasil negeri,” katanya.

Sementara itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri memutuskan melanjutkan Tahun Melawat Melaka sehingga 2026 selaras dengan pemilihan Melaka sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 disusuli Tahun Melawat Malaysia 2026.

Beliau berkata Melaka terus terkenal di seluruh dunia apabila menganjurkan pelbagai aktiviti melalui 14 subsektor pelancongan dengan 64 acara sepanjang 2025 antaranya Pengkisahan Detik Kemerdekaan bersama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Teater Kegemilangan Melaka, Melaka International Mountain Bike Jamboree, Pesta Pantai Melaka dan Melaka International Travel Mart.

“Sempena kehadiran 'dunia' ke Melaka, kerajaan negeri dengan sukacitanya menawarkan kepada kerajaan Persekutuan untuk melancarkan Tahun Melawat Malaysia 2026 semasa Majlis Perasmian Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Sedunia pada September 2025.

“Pendekatan ini dijangka menjimatkan kos dengan menggabungkan dua acara besar serentak yang disertai wakil-wakil dunia,” katanya.

Ab Rauf turut menghadiahkan dua berita gembira kepada penjawat awam negeri apabila mengumumkan Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM1,600 yang akan dibayar pada hujung Disember ini manakala bonus setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 dibayar pada Februari depan.

Katanya ia membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM7.5 juta membabitkan 5,231 penjawat awam negeri.

— BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan