MOSCOW, 28 Dis (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Kemudahan perubatan utama terakhir di utara Semenanjung Gaza, Hospital Kamal Adwan, telah menghentikan operasinya selepas serangan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) merosakkan jabatan-jabatan penting, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Serangan pagi ini (27 Dis) ke atas Hospital Kamal Adwan telah menyebabkan kemudahan kesihatan utama terakhir di Utara #Gaza tidak lagi dapat berfungsi. Laporan awal menunjukkan beberapa jabatan penting terbakar dan rosak teruk akibat serangan itu,” kata WHO dalam kenyataan di X.
Sekurang-kurangnya 60 petugas kesihatan dan 25 pesakit dalam keadaan kritikal, termasuk mereka yang memerlukan ventilator, masih berada di hospital berkenaan. Pesakit dalam tahap kecederaan sederhana hingga teruk pula terpaksa dipindahkan ke Hospital Indonesia yang telah musnah dan tidak lagi berfungsi, menurut kenyataan itu.
“WHO amat bimbang tentang keselamatan mereka,” tambah kenyataan itu.
Pada Khamis lepas, kira-kira 50 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan Israel ke atas sebuah bangunan berhampiran Hospital Kamal Adwan di utara Semenanjung Gaza, kata Pengarah Hospital Hussam Abu Safia.
-- Bernama-Sputnik/RIA Novosti
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial