WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pesawat Terhempas: Malaysia Sampaikan Ucapan Takziah Kepada Azerbaijan

27/12/2024 10:55 PM

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Malaysia hari ini mengucapkan takziah kepada Azerbaijan di atas tragedi pesawat penumpang milik Azerbaijan Airlines yang terhempas di Kazakhstan, Rabu lepas.

Ucapan itu disampaikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, mewakili kerajaan Malaysia ketika hadir ke Pejabat Kedutaan Azerbaijan, di sini.

Mohamad menerusi catatan di Facebook berkata kerajaan dan rakyat Malaysia menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada kerajaan dan rakyat Azerbaijan serta keluarga mangsa terlibat.

“Kerajaan Malaysia mendoakan agar keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat-saat yang sukar ini.

“Malaysia mengulangi komitmen untuk terus memperkukuh  hubungan diplomatik dan persahabatan dengan Azerbaijan, dalam menghadapi cabaran bersama di peringkat antarabangsa,” katanya.

Pesawat Azerbaijan Airlines pada Rabu yang dalam perjalanan dari Baku ke bandar Grozny di Republik Chechen, Rusia, terhempas berhampiran Aktau, yang terletak di pantai Laut Caspian, dengan membawa 67 orang penumpang.

Pegawai Kazakhstan melaporkan seramai 38 orang terkorban dalam nahas itu manakala 29 terselamat.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan