PUTRAJAYA, 28 Dis (Bernama) -- Sekurang-kurangnya empat rakyat Malaysia terlibat dalam kemalangan bas berhampiran Tasik Asvatnet, Norway pada 26 Disember, menurut Kementerian Luar pada Sabtu.
Kementerian Luar yang turut dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan penumpang yang mengalami kecederaan ringan telah ditempatkan di pusat krisis di dua hotel berdekatan - Hotel Richard di Stokmarknes dan Thon Hotel di Lofoten.
"Empat rakyat Malaysia telah disahkan menginap di Thon Hotel yang mana mereka telah disediakan penginapan.
"Bagaimanapun, disebabkan siasatan yang masih berlangsung, penumpang ini tidak dibenarkan menggunakan telefon atau berkomunikasi secara langsung dengan pihak luar. Kakitangan hotel juga dihalang daripada menghubungi penumpang berkenaan.
"Pasukan konsular Kedutaan (Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm) sedang giat bekerjasama dengan pihak berkuasa Norway untuk menentukan jumlah sebenar rakyat Malaysia yang terlibat dan untuk memberikan bantuan yang diperlukan,” menurut kenyataan kementerian.
Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm, memantau rapi perkembangan susulan kemalangan bas itu bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang terjejas.
Kementerian itu berkata siasatan yang sedang dijalankan, ditambah dengan keadaan musim sejuk yang teruk - termasuk salji lebat, angin kencang dan jarak yang agak jauh kira-kira 1,500 kilometer dari Oslo - telah menimbulkan cabaran logistik yang ketara dalam mendapatkan akses dan memberikan sokongan kepada individu terjejas.
Menurut Wisma Putra, di sebalik cabaran ini, Kementerian Luar dan Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm tetap teguh dalam komitmen mereka untuk membantu rakyat Malaysia yang terlibat.
"Kementerian akan memberikan maklumat terkini apabila maklumat baharu tersedia," katanya.
Untuk sebarang bantuan konsular, Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm boleh dihubungi di alamat Karlavagen 37, 114 31 Stockholm, Sweden atau melalui panggilan telefon di +46 8440 8400 (pertanyaan umum) / +46 73 536 9152 (di luar waktu bekerja & hujung minggu) atau e-mel di mwstockholm@kln.gov.my.
Pada Khamis, kemalangan bas berlaku berhampiran Tasik Asvatnet kira-kira 1.30 tengah hari waktu tempatan, melibatkan penumpang dari beberapa negara, termasuk China, Singapura, India, Belanda, Malaysia, Sudan Selatan, Perancis dan Ukraine.
Kejadian berlaku dalam keadaan cuaca buruk termasuk salji tebal dan angin kencang, menyebabkan bas hilang kawalan lalu terbabas.
Daripada 58 penumpang, tiga kematian dilaporkan sementara empat lagi cedera parah dan kini dirawat di Hospital Stokmarknes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial