WILAYAH - UTARA > BERITA

UMNO Perak Akur Keputusan Tidak Teruskan Perhimpunan Solidariti Najib Isnin Ini

04/01/2025 11:38 AM

IPOH, 4 Jan (Bernama) -- UMNO Perak akur dengan ketetapan parti dan pihak berkuasa untuk tidak meneruskan Himpunan Solidariti bagi menyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dirancang diadakan di Istana Kehakiman Putrajaya, Isnin ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pihaknya menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif Baginda dalam memberi pengampunan, menangguhkan hukuman dan meringankan hukuman bagi kesalahan seperti yang digariskan di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

"Sehubungan itu, Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak menyokong pendirian Ibu Pejabat UMNO agar semua tindakan berkaitan kes Datuk Seri Najib Tun Razak diselesaikan melalui saluran undang-undang yang sah, sejajar dengan titah Tuanku yang menganjurkan penghormatan kepada proses perundangan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata UMNO negeri menaruh keyakinan terhadap kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam mempertimbangkan rayuan terhadap kes Najib, agar pemimpin yang banyak berjasa kepada negara itu mendapat keadilan.

Malam tadi, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan parti itu membatalkan Himpunan Solidariti berkenaan, selepas Istana Negara dalam kenyataan semalam memaklumkan permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi mana-mana banduan hendaklah dikemukakan sendiri oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan