WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PH Selangor Buat Laporan Polis Terhadap ADUN Pembangkang Berkait Hantaran Berunsur Fitnah

05/01/2025 02:56 PM

SHAH ALAM, 4 Jan (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) Selangor hari ini membuat laporan polis terhadap seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor pembangkang yang didakwa memuat naik hantaran berunsur fitnah terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.  

Naib Pengerusi PH Selangor Azli Yusof berkata pihaknya mengecam sekeras-kerasnya fitnah berkenaan yang menyatakan Perdana Menteri menyokong aktiviti atau perilaku yang menderhakai Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

Beliau berkata berikutan itu, PH Selangor menyeru pihak berkuasa, khususnya polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk melakukan siasatan forensik menyeluruh ke atas akaun media sosial individu terbabit bagi mengenal pasti dalang sebenar yang menyebarkan fitnah berkenaan. 

".... yang lebih mengecewakan kita, hantaran ini dibuat selang sehari selepas titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan kebimbangan terhadap cubaan membunuh karakter yang semakin berleluasa. 

"Sebab itu kita daripada PH ingin mendidik rakyat untuk kita menyuburkan budaya Rahmah, budaya untuk kita bekerjasama membina negara dan bukan budaya fitnah serta budaya adu domba yang akhirnya akan memporak-perandakan negara," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam yang turut dihadiri Ketua Penerangan PH Selangor Abbas Salimi Che Adzmi @ Azmi. 

Azli yang juga Ahli Parlimen Shah Alam turut menyeru supaya semua pihak, terutamanya pemimpin politik perlu memastikan sebarang kenyataan atau maklumat yang dikeluarkan adalah berdasarkan fakta yang sahih. 

"Kita juga akan melakukan laporan polis di setiap kawasan dan juga negeri-negeri bukan sahaja PH tetapi juga Parti Amanah secara keseluruhannya," katanya. 

Terdahulu laporan itu dibuat Setiausaha Biro Mobilisasi Amanah Selangor Abdul Muhaimin Abu Bakar di IPD Shah Alam hari ini yang mendakwa telah terlihat tangkap layar di beberapa kumpulan perbualan WhatsApp dan media sosial berkait hantaran gambar yang palsu dan berunsur fitnah membabitkan Perdana Menteri. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan