WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sarawak Satu-Satu Negeri Wujud OSC Bantu Tangani Penyalahgunaan Dadah

05/01/2025 12:11 PM

SIBU, 5 Jan (Bernama) -- Sarawak satu-satunya negeri yang mempunyai pusat sehenti (OCS) bagi membantu menangani masalah penyalahgunaan dadah dengan lebih berkesan, kata Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri Abdul Hamediee Ibrahim.

Beliau berkata kewujudan OSC telah banyak membantu usaha pihaknya menangani masalah penagihan dadah khususnya dalam kalangan rakyat negeri ini. 

“Apabila saya datang ke Sarawak pada tahun lepas, saya dapati negeri ini sangat berbeza dengan beberapa negeri yang pernah saya kunjungi sebelum ini apabila mewujudkan OSC sendiri untuk menangani masalah penagihan dadah.

“OSC ini bukan sahaja membantu menangani masalah dadah tetapi 14 masalah sosial lain yang boleh menjurus kepada masalah penagihan dadah. Ini sangat istimewa kepada Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Apresiasi Pencegahan dan Pemulihan Dadah anjuran Jawatankuasa Kerja Pencegahan dan Pemulihan Dadah OSC-MIDS Sibu di sini malam tadi, yang turut dihadiri Setiausaha Politik Premier Sarawak Sayed Azmee Wan Junaidi.

Beliau berkata proses rawatan dan pemulihan dalam kalangan individu terjebak penagihan dadah bukan perkara yang mudah dilaksanakan tanpa komitmen dan kerjasama pelbagai pihak termasuk masyarakat sendiri.

Sehubungan itu, berkata AADK Sarawak merancang mendaftar 77,000 ahli skuad antidadah di seluruh negeri ini dalam kalangan mereka yang berusia antara 15 hingga 45 tahun bagi membantu pihaknya menangani masalah penagihan dadah di negeri ini.

“Setakat ini 10,000 ahli skuad antidadah berjaya didaftarkan di Sarawak sejak tahun lepas. Sambutan agak menggalakkan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hamediee berkata masalah penyalahgunaan dadah di Sarawak masih lagi serius dan perlu ditangani dengan segera supaya tidak terus merebak.

Beliau berkata menjadi harapan AADK Sarawak ahli skuad antidadah dan klien yang berjaya keluar dari masalah dadah ini dapat membantu kerajaan menangani masalah penagihan dadah hingga Sarawak boleh bebas dadah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan