WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TMM2026 Fokus Pelancongan Bernilai Tinggi, Lestari - Tiong

06/01/2025 03:18 PM

SEPANG, 6 Jan (Bernama) -- Kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM2026) yang bermula hari ini berlandaskan dua tunggak utama, iaitu pelancongan bernilai tinggi dan lestari, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Beliau berkata perkara ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam menawarkan pengalaman bermakna sambil melindungi khazanah unik negara.

“Bagi mencapai matlamat ini, kami telah mengenal pasti tiga strategi utama, iaitu meningkatkan kedatangan pelancong dengan menukar lawatan singkat kepada penginapan yang lebih lama.

"(Selain itu) memanjangkan tempoh penginapan dengan memperkayakan pengalaman pelancongan budaya dan ekopelancongan, memperkasakan komuniti tempatan, serta menambah baik infrastruktur; di samping menggalakkan perbelanjaan yang lebih tinggi dengan mempromosikan pengalaman pelancongan khusus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan kempen TMM2026, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, hari in

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Tiong berkata TMM 2026 bukan sekadar sebuah kempen, tetapi membentuk legasi yang mendorong pertumbuhan, mewujudkan peluang pekerjaan, dan memperkasa komuniti.

Sehubungan itu, beliau menyeru setiap rakyat Malaysia, termasuk pemandu pelancong, pemilik perniagaan, seniman, dan rakyat biasa untuk berkongsi kisah, budaya, dan keramahan negara dengan dunia.

Beliau berkata Malaysia yang kaya dengan sejarah, hutan hujan purba, bandar raya yang pernuh meriah, budaya yang pelbagai serta hidangan yang tidak dapat dilupakan.

"Kempen kami, ‘Surreal Experiences’, mengajak dunia untuk menerokai kecantikan dan kepelbagaian luar biasa Malaysia, serta menawarkan pengalaman yang melebihi jangkaan,” katanya.

Beliau berkata logo TMM2026 bukan sekadar jenama, ia mencerminkan keindahan negara dalam setiap senyuman mesra, sambutan hangat, dan kisah yang dikongsi oleh rakyat Malaysia.

"Setiap individu dianggap sebagai 'Duta Pelancongan', berperanan sebagai poskad hidup yang mempamerkan daya tarikan unik Malaysia kepada dunia," katanya.

Tiong berkata TMM2026 bertujuan untuk menawarkan lebih daripada sekadar pemandangan dan bunyi-bunyian, malah ia juga ingin mencipta hubungan yang mendalam dan bermakna.

"Malaysia bukan sahaja sebuah negara yang selamat, tetapi juga mesra, dengan hospitaliti sebagai elemen utamanya. Dari bandar-bandar yang meriah hingga pantai-pantai yang tenang, budaya yang kaya hingga kemudahan bertaraf dunia, Malaysia menyambut pelawat dengan penuh kemesraan.

"Sama ada anda mencari pengembaraan, bersantai, atau penjelajahan budaya, Malaysia menjanjikan pengalaman yang selamat, mesra, dan tidak dapat dilupakan - seolah-olah anda berada di rumah sendiri," katanya.

Tiong berkata kementeriannya merancang untuk melibatkan lebih ramai rakan kerjasama dengan menumpukan pada kerjasama strategik bersama Tourism Malaysia bagi memastikan kejayaan TMM2026.

Beliau berkata kerjasama daripada semua pihak berkepentingan akan merangsang industri pelancongan Malaysia dan mewujudkan persekitaran yang dinamik serta inklusif.

Pada majlis itu, turut dilancarkan logo, maskot, dan lagu TMM2026, yang mencerminkan visi Malaysia untuk meningkatkan kedudukannya dalam pelancongan global.

Kempen TMM2026 adalah inisiatif kerajaan untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama, dengan matlamat menarik 35.6 juta pelawat dan menjana pendapatan sebanyak RM147.1 bilion.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan