WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kes Demam Denggi Menurun Pada ME52, Satu Kematian Dilaporkan

06/01/2025 05:32 PM

PUTRAJAYA, 6 Jan (Bernama) -- Kes demam denggi dilaporkan menurun kepada 1,341 kes pada Minggu Epidemiologi ke-52 (ME52) dengan satu kematian berbanding 1,407 kes dan dua kematian pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata secara kumulatif, jumlah keseluruhan kes demam denggi pada tahun lepas adalah sebanyak 122,423 kes dengan 117 kematian berbanding 123,133 kes dan 100 kematian pada 2023. 

"Pada awal 2024, bilangan kes yang dilaporkan melebihi 3,000 kes seminggu. Namun begitu, sejak ME ke-44 purata kes mingguan telah menurun dengan ketara kepada kira-kira 1,200 hingga 1,500 kes sahaja dan berada di bawah paras median lima tahun," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat 22 lokaliti aktif hotspot yang dilaporkan pada ME52 berbanding 18 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya. 

Daripada 22 lokaliti itu, sebanyak 12 lokaliti di Selangor, lima lokaliti di Negeri Sembilan, tiga lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta satu lokaliti masing-masing di Pahang dan Pulau Pinang.

Dr Muhammad Radzi berkata Kementerian Kesihatan (KKM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah berganding bahu dalam usaha mengawal penyebaran demam denggi sepanjang 2024.

Beliau berkata kejayaan menurunkan kes denggi ke tahap di bawah median lima tahun itu merupakan hasil usaha berterusan dan komitmen semua pihak. 

Namun, katanya cabaran yang lebih besar dijangka menanti pada 2025, khususnya dengan perubahan cuaca yang tidak menentu, peningkatan aktiviti pembangunan serta mobilisasi masyarakat yang boleh memberi impak kepada usaha pencegahan dan kawalan denggi di negara ini. 

Sehubungan dengan itu, beliau berkata KKM menyeru seluruh masyarakat untuk terus memperkukuh langkah pencegahan khususnya melalui pelaksanaan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan aedes demi memastikan kejayaan ini kekal berterusan dan risiko penyebaran wabak denggi dapat diminimumkan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan