WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Perbicaraan 1MDB Ditangguh Lebih Awal Kerana Najib Tidak Cukup Tidur

06/01/2025 06:32 PM

PUTRAJAYA, 6 Jan (Bernama) -- Perbicaraan rasuah Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) ditangguhkan selepas bekas Perdana Menteri itu dilaporkan tidak sihat akibat kurang tidur.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah selepas waktu rehat singkat bahawa anak guamnya berasa tidak sihat kerana sukar tidur sejak tiga hingga empat hari lepas.

"Yang Arif, anak guam saya tidak dapat tidur sejak tiga hingga empat hari lepas disebabkan apa yang beliau jangkakan pagi tadi (Titah Adendum). Beliau berasa tidak sihat. Selain itu, peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin juga tidak sihat.

"Kami mohon sekiranya Yang Arif dapat menangguhkan sekarang dan kita akan bersambung semula esok pagi," kata peguam veteran itu.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib tidak membantah permohonan itu kerana ia melibatkan aspek kesihatan.

Hakim Sequerah kemudian bersetuju untuk menangguhkan perbicaraan yang akan bersambung semula pada 9.30 pagi esok.

Terdahulu semasa prosiding, Najib memberi keterangan bahawa beliau tidak pernah melantik atau memecat sesiapa pun di 1MDB, menjelaskan bahawa semua pelantikan dicadangkan oleh lembaga pengarah dan beliau hanya akan mengesahkan keputusan mereka secara bertulis jika perlu.

"Naratif bahawa saya mempunyai kawalan mutlak terhadap 1MDB adalah tidak selari dengan fakta dan autonomi operasi sebenar yang dijalankan pengurusan syarikat itu," katanya semasa disoal peguamnya Wan Azwan Aiman.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu membela diri terhadap 25 pertuduhan termasuk empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Pada 30 Okt, Hakim Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib, dan memerintahkannya untuk membela diri.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan