WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Miskin Tegar: 14, 041 KIR Dikeluarkan Daripada Kategori Itu - Nik Nazmi

09/01/2025 02:29 PM

KOTA BHARU, 9 Jan (Bernama) -- Seramai 14,041 Ketua Isi Rumah (KIR) telah dikeluarkan daripada kategori miskin tegar menerusi dua fasa tahun lepas, kata Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata fasa pertama melibatkan 12,280 KIR pada 1 Julai dan fasa kedua pada 31 Dis lepas melibatkan 1,761 KIR.

"Ia seperti arahan ditetapkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kelantan pada 2 Mei tahun lepas untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini.

"Usaha membasmi kemiskinan akan dilaksanakan secara berterusan dan tidak akan terhenti dalam tempoh ini sahaja. Insya-Allah usaha-usaha ini memberikan makna yang besar dalam kehidupan kumpulan sasaran," katanya dalam sidang media selepas menyampaian amanat tahun baharu pada sesi perjumpaan khas Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar itu berkata angka insiden kemiskinan yang dinamik memerlukan strategi dan usaha yang berpanjangan oleh semua pihak.

"Tetapi dari semasa ke semasa, kita akan pantau sebab ia (miskin tegar) ada pasang surut daripada segi bilangan miskin tegar ini", katanya.

Pada 1 Jan lepas, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dilaporkan berkata kerajaan akan terus beri perhatian kepada usaha mengatasi kadar kemiskinan negeri melalui inisiatif kesejahteraan rakyat serta penyelarasan bantuan langsung, dan agenda pembasmian kemiskinan di Kelantan menjadi fokus utama.

Ia selaras dengan kenyataan Anwar pada Mei tahun lepas bahawa isu rakyat seperti kemiskinan tegar, pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas adalah komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk diselesaikan terutama di Kelantan, dan Perdana Menteri memberikan tempoh dua bulan kepada agensi kerajaan persekutuan iaitu ICU JPM bersama Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menoktah miskin tegar di negeri itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan