WILAYAH - TIMUR > BERITA

Lebih 100 Projek Baharu Pembangunan Negeri Kelantan Diluluskan Tahun Ini - Nik Nazmi

09/01/2025 04:45 PM

KOTA BHARU, 9 Jan (Bernama) -- Sebanyak 115 projek baharu pembangunan di Kelantan telah diluluskan melalui Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi tahun ini, kata Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata dengan kelulusan tersebut, jumlah keseluruhan projek pembangunan yang dilaksanakan di negeri ini kini berjumlah 467 projek, dengan kos semasa sebanyak RM25.7 bilion.

"Antara projek baharu yang diluluskan ialah Fasa 1 Kerja Tanah bagi Pembinaan Hospital Wanita dan Kanak-kanak (Hospital Raja Perempuan Zainab II), Loji Rawatan Air dan Sistem Bekalan Air di Kota Bharu, Machang, dan Gua Musang.

“Perancangan pembangunan negara bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui projek dan program yang dapat mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan antara penduduk bandar, luar bandar, dan wilayah, selain menamatkan kemiskinan tegar," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu dalam perjumpaan khas di sini, hari ini.

Nik Nazmi, yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata pembangunan di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) RMK-12 pada tahun 2024 berjumlah RM2.4 bilion, berbanding peruntukan yang diluluskan sebanyak RM2.8 bilion.

"Daripada 454 projek yang diluluskan, beberapa projek telah siap dilaksanakan, termasuk pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Fasa 1, pembinaan Hospital Bachok, Ibu Pejabat Polis Daerah, dan Kolej Komuniti Jeli yang baharu," katanya.

Beliau berkata beberapa projek berimpak tinggi telah dimulakan pada tahun lepas, seperti fasiliti sukan untuk Sukan Malaysia 2028, Jambatan Palekbang, Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu - Rancangan Tebatan Banjir Kota Bharu, dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebagai lapangan terbang antarabangsa yang dijangka siap tahun ini.

"Prestasi tahun ini diharapkan lebih baik dengan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan," tambahnya.

Turut hadir, Pengarah Pembangunan Negeri Kelantan Jasri Kasim dan Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan