WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kepengerusian ASEAN: Kementerian Perpaduan Anjur Pelbagai Program Perkukuh Perpaduan Serantau

10/01/2025 10:47 PM

BUTTERWORTH, 10 Jan (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara akan menganjurkan pelbagai program bagi memperkukuh perpaduan serantau sepanjang tempoh Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Timbalan Menteri berkenaan K. Saraswathy berkata program itu akan dilaksanakan di bawah Tonggak Komuniti Sosiobudaya ASEAN dengan fokus kepada usaha mengukuhkan perpaduan serantau.

“Ini antara langkah Kementerian Perpaduan untuk membentuk komuniti ASEAN yang lebih inklusif, harmoni dan lestari,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan kuiz moral dan agama Hindu di sini hari ini.

Malaysia secara rasmi mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Jan  2025 dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.

Sementara itu, Saraswathy berkata Kementerian Perpaduan Negara dan agensinya menganjurkan sebanyak 360 program perpaduan berimpak tinggi setiap tahun termasuk tahun ini dengan tumpuan kepada kepelbagaian budaya, agama dan etnik.

Beliau berkata melalui program itu, rakyat Malaysia dipelawa melihat kepelbagaian sebagai kekuatan yang perlu dimanfaatkan agar negara dapat bersaing dengan negara-negara lain di rantau ini.

“Sejak penubuhan Kementerian Perpaduan Negara pada 2020, kita telah mencapai kemajuan signifikan dalam usaha memperkukuh perpaduan. Malah, perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia kini berada pada tahap terbaik,” katanya.

Mengulas mengenai Indeks Perpaduan Negara (IPNas), Saraswathy berkata kajian yang dilakukan setiap dua tahun itu menunjukkan trend positif dengan sasaran skor 0.7 pada tahun ini.

"Setakat ini, Malaysia berada pada skor 0.52 dan kami berharap dapat mencapai sasaran 0.7 itu yang dianggap memuaskan dalam konteks keadaan semasa. Namun, Kementerian Perpaduan mengakui terdapat beberapa cabaran utama yang perlu dihadapi," katanya.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan