KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Kedah Darul Aman FC memanfaatkan beraksi di laman sendiri untuk menewaskan Kelantan Darul Na’im (KDN) FC 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman di sini.
Kemenangan itu menyaksikan kedudukan pasukan kendalian Victor Andrag melonjak ke tangga keenam daripada kedudukan kesembilan carta Liga Super dengan keseluruhan 20 mata manakala KDN di tangga tercorot dengan tujuh mata.
Babak pertama menyaksikan skuad negeri ‘jelapang padi’ itu bermula garang sebelum berhasil membuka akaun jaringan pada minit ke-16 menerusi rembatan deras menewaskan penjaga gol KDN FC Wan Mohamad Syazmin Wan Mohamad Ruzaimi.
Tersentak dengan jaringan itu, Kelantan yang kembali mengatur serangan bagaimanapun terlepas peluang menyamakan kedudukan apabila sepakan Muhammad Syahir Ab Rashid terkena palang gol pada minit ke-38.
Bersambung separuh masa kedua, percaturan demi percaturan yang dilakukan tuan rumah antaranya membawa masuk pemain gantian Assifuah, Syafiq Ahmad dan Afeeq Iqmal berjaya mengucar-ngacirkan pertahanan Kelantan.
Bagaimanapun, KDA yang membuat beberapa percubaan dan lorongan cantik gagal menyudahkan dengan sebarang jaringan dan keputusan kekal 1-0 hingga tamat perlawanan.
Sementara itu, aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, Negeri Sembilan menyaksikan Negeri Sembilan FC (NSFC) berjaya meraih kemenangan pertama di laman sendiri selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-1.
Pasukan tuan rumah terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan sendiri oleh Aliyu Audu Abu Bakar yang tertanduk bola ke dalam gawang ketika cuba menyelamatkan hantaran lintang pemain import Sri Pahang Kpah Sherman seawal minit kelapan.
Bagaimanapun, NSFC berjaya menyamakan kedudukan di minit akhir babak pertama menerusi jaringan Hein Htet Aung pada minit ke-44 sebelum sekali lagi mengejutkan skuad Tok Gajah hasil sepakan kencang Selvan Anbualagan pada minit ke-59 sekali gus meletakkan skuad Hobin Jang Hobin di hadapan.
Kedua-dua pasukan terus menggandakan usaha dengan beberapa percubaan ke arah gawang masing-masing namun gagal menambah jaringan, keputusan kekal NSFC mendahului 2-1 hingga wisel penamat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial