WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Teliti Cadangan Pinda Undang-undang Digital Tangani "Scam"

11/01/2025 12:32 AM

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk meminda undang-undang berkaitan kuasa digital bagi mengawal media sosial dalam menangani scam atau penipuan dalam talian.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan pindaan itu antara lain memasukkan syarikat telekomunikasi atau telco sebagai antara pihak yang bertanggunjawab untuk mengekang jenayah berkenaan dengan dikoordinasikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

“BNM sedang koordinasi, telco sudah dimaklumkan (mengenai) cadangan untuk pinda kuasa digital bagi mengawal media sosial kerana melalui media sosial, ada penipuan kewangan dan lain-lain.

“Jadi, hal ini sedang diperhatikan. Tetapi, kebimbangan kita ada reaksi (yang) nampak seperti (cadangan pindaan) undang-undang itu terlalu ketat. Namun, kita perlu melihat perkara itu,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menjadi moderator dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI KPT Siri 4: Menggunakan Teknologi dalam Perkhidmatan Kewangan bagi Memacu Kemakmuran dan Keterangkuman, di sini malam ini.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Khairussaleh Ramli yang merupakan antara panel forum itu meminta supaya telco menjadi antara pihak yang bertanggungjawab terhadap jenayah scam dalam talian dan bukan di pihak bank semata-mata, seperti yang dilaksanakan di Singapura.

“Apabila anda melihat penipuan dalam talian, dari segi rantaian nilai, ia bukan hanya melibatkan bank. Sebelum mereka (pelanggan) ingin berurusan dengan bank, mereka membeli telefon dan talian telefon. Semua transaksi ini melalui talian telefon, (jadi) telco juga perlu mengambil tanggungjawab.

"Di Singapura contohnya, mereka mengawal selia dan pihak berkuasa turut melibatkan telco sebagai pihak yang bertanggungjawab kerana apabila anda melihat pada telefon, anda sudah tahu siapa pemilik berdaftar.

"Kalau ada apa-apa keraguan, kita boleh dapat maklumat terus daripada telco untuk mengetahui siapa pemiliknya … malangnya, kita tidak mendapat bantuan ini. Saya ingin memohon sekali lagi dan juga kepada BNM, supaya telco turut menjadi sebahagian daripada usaha ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta mengenai jenayah penipuan dalam talian yang semakin serius di Malaysia memandangkan mangsa kebanyakannya rakyat biasa dengan nilai kerugian mencecah lebih RM1 bilion.

Turut menjadi panel dalam program berkenaan ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan yang juga Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies Malaysia Wong Kah Meng.

Hadir sama ke forum itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Dalam sidang media hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata lebih RM3.1 bilion kerugian direkodkan sepanjang tahun lepas akibat kes jenayah komersial.

Daripada jumlah itu, beliau berkata sebanyak 35,368 kes penipuan dalam talian dengan kerugian mencecah RM1.57 bilion turut dicatatkan pada 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan