WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Rexy Suara Pandangan, Tegur Sikap Pemain Perseorangan Wanita

12/01/2025 11:26 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Pasukan perseorangan wanita negara terus dicengkam kesuraman berpanjangan dan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia Rexy Mainaky sukar untuk menyembunyikan penilaiannya terhadap para pemain selepas satu lagi prestasi mengecewakan pada Terbuka Malaysia 2025.

Rexy berkata merungut dan memberi alasan antara masalah utama yang menghalang barisan pemain perseorangan wanita negara untuk mara lebih jauh dan muncul pemain handalan dunia.

Terdapat sebilangan pemain perseorangan wanita negara mengadu letih ketika menjalani sesi latihan di ABM Bukit Kiara di sini.

“Saya lihat mereka lebih banyak merungut dan berasa penat. Namun, yang kita harapkan sebenarnya mereka harus sedar kalau mahu mencapai sesuatu bukanlah dengan merungut.

“Sebaliknya, tahu apa tujuan kita harus berjuang dan bagaimana kita boleh dapat apa yang kita inginkan. Namun, apa yang mereka? Baru latihan sedikit sudah rasa sakit,” katanya kepada pemberita pada Terbuka Malaysia 2025 di sini.

Rexy berkata sekiranya memiliki sikap berkenaan dan bermain untuk kuasa besar dunia seperti China, Indonesia atau Jepun, mereka mungkin sudah dibuang dari pasukan negara itu.

Mengambil contoh keputusan Terbuka Malaysia 2024, Rexy berkata pemain negara harus mengambil iktibar dengan kejutan dilakar pemain muda Thailand Pornpicha Choeikeewong yang mara ke separuh akhir selepas menyingkirkan pemain nombor lima dunia dari China Han Yue, 18-21, 21-13, 21-19.

Lebih memeritkan, Rexy berkata dua pemain negara Wong Ling Ching serta K. Letshanaa yang tidak berpeluang beraksi di Terbuka Malaysia 2025, sebelum ini pernah menumpaskan Pornpicha namun mereka berdua masih belum mampu menyinar dan mencapai standard dengan pemain ranking ke-44 dunia itu.

Pemain negara harus mengambil inspirasi daripada kisah bekas pemain perseorangan wanita negara Wong Mew Choo yang mampu mencabar pemain handalan dunia lain termasuk mencipta sensasi menjadi satu-satunya wakil perseorangan wanita negara menakluk Terbuka China pada edisi 2007.

“Bagaimanapun, ini tidak bermakna kualiti pemain perseorangan wanita kita teruk namun harus buat pengorbanan dalam perjuangan mereka,” katanya.

Mengulas prestasi pemain negara di Terbuka Malaysia kali ini, Rexy berkata beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun gagal memanfaatkan kekuatan mereka di bahagian tengah gelanggang untuk memerangkap pasangan China Chen Bo Yang-Liu Yi sehingga akur kepada pasangan negara itu, 26-24, 21-16, 21-15 pada separuh akhir semalam.

Mengenai beregu campuran utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Rexy berkata kegagalan mengekalkan kelebihan mata terutama pada set pertama menjejaskan prestasi mereka pada peringkat sama yang disingkirkan pilihan utama Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China, 19-21, 14-21.

Rexy juga mengakui pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik dua kali Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak bermain agresif pada kejohanan Super 1000 itu sekali gus ditunjuk jalan keluar pada pusingan kedua oleh Lee Fang-Chih-Lee Fang-Jen dari Taiwan, 14-21, 18-21.

Walaupun mencuba sedaya upaya, Rexy berkata semangat dimiliki wakil tunggal perseorangan lelaki Leong Jun Hao masih belum cukup untuk menandingi Lu Guang Zu dari China yang menang 17-21, 21-16, 13-21 pada pusingan pertama.

Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena yang bermula sejak Selasa lepas berakhir hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan