WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kandungan Tular Di Telegram Tidak Berasas, Berniat Buruk Terhadap Individu Didakwa Pegawai Tertinggi KKM

13/01/2025 08:55 PM

PUTRAJAYA, 13 Jan (Bernama) -- Siasatan terperinci oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati kandungan hantaran yang tular di aplikasi Telegram pada Jumaat lepas adalah tidak berasas dan disyaki berniat memburukkan nama baik serta kredibiliti individu yang didakwa sebagai pegawai tertinggi KKM, kata Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dalam kenyataan hari ini jabatan itu memaklumkan siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti tujuan individu berkenaan yang didakwa hadir untuk mendapatkan rawatan pada 4 Jan lepas di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Putrajaya, di sini.

“Siasatan terperinci telah dijalankan dan mendapati bahawa individu berkenaan telah hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Putrajaya pada tarikh tersebut.

“Namun begitu, apa yang digambarkan dalam hantaran tersebut adalah tidak berasas. Naratif yang disampaikan disyaki berniat untuk memburukkan nama baik dan menjatuhkan kredibiliti pegawai berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Jumaat lepas, satu paparan di aplikasi Telegram mengandungi sekeping gambar seorang wanita didakwa sebagai pegawai tinggi kementerian yang baharu dilantik, telah hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Putrajaya dan dikatakan bertindak memotong giliran sebelum membuat kacau di jabatan itu.

Kenyataan itu memberitahu KKM menggalakkan mana-mana pihak untuk melaporkan sebarang maklum balas seperti aduan, penghargaan, pertanyaan serta cadangan berkenaan perkhidmatan KKM melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) di https://moh.spab.gov.my/.

Sistem SisPAA diuruskan secara bebas dan tidak bertanggungjawab kepada Ketua Pengarah Kesihatan atau Jabatan Kesihatan Negeri dan akan menguruskan aduan yang diterima mengikut prosedur yang ditetapkan, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan