WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lebih Ramai Pakar Tempatan Perlu Bangunkan Perisian BIM - Ahmad Maslan

15/01/2025 02:37 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Lebih ramai pakar tempatan perlu membangunkan Perisian Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) yang dilihat bukan sekadar dapat menjimatkan kos malah mengoptimumkan penggunaan teknologi itu dalam industri pembinaan negara.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ketika ini penggunaan kos perisian BIM berharga RM10,000 setahun bagi seorang pengguna manakala di Sarawak mencecah RM18,000.

“Masalah yang kita hadapi dalam memperkasakan pelaksanaan BIM ini ialah kos perisian yang masih tinggi.

“Oleh itu, saya ingin galakkan lebih ramai terlibat dalam membina perisian ini termasuk pertubuhan BIM agar mengeluarkan modul dan perisian sendiri supaya boleh digunakan dengan lebih baik,” katanya dalam ucapan sebelum menutup Program Jelajah 2024 JKR BIM: Trail Training Lectures Zon Tengah di sini hari ini.

Dalam sidang media kemudian, Ahmad berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui Pelan Strategik JKR 2021-2025 menetapkan sasaran 50 peratus projek bernilai RM10 juta ke atas dilaksanakan secara BIM dengan peningkatan 10 peratus setiap tahun.

“Sehingga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) – Rolling Plan 4, bilangan projek BIM semakin bertambah dan kini melebihi 400 projek.

“Justeru, dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Jun lepas, beliau bersetuju supaya penggunaan BIM diperluas kepada projek kerajaan dan swasta mulai 1 Ogos 2024,” katanya.

Beliau berkata melalui penggunaan BIM, jurutera dan kontraktor terlibat mampu meningkatkan penyelarasan reka bentuk, mengesan masalah lebih awal dan mengurangkan risiko kelewatan atau isu di tapak pembinaan yang sudah tentu akan melibatkan kos tambahan.

“Projek pembinaan bangunan tambahan Sekolah Kebangsaan Taman Scientex, Pasir Gudang, Johor dengan kapasiti 40 buah kelas boleh siap dalam masa enam bulan menggunakan kaedah BIM sekali gus menjadikan projek ini antara terpantas pernah dilaksanakan di Malaysia bagi projek pembinaan sekolah.

“Pembinaan Kuarters Gunasama Persekutuan Bintulu di Sarawak juga merekodkan 100 hari lebih awal daripada masa pembinaan ditetapkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan