WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Jepun Sumbang US$2 Juta Untuk Bantuan Kebakaran Hutan Di California

15/01/2025 03:43 PM

TOKYO, 15 Jan (Bernama-Kyodo) -- Jepun pada Rabu mengumumkan sumbangan sebanyak US$2 juta kepada California untuk menyokong usaha pemulihan selepas kebakaran besar yang meragut puluhan nyawa dan menyebabkan kerosakan besar.

Bantuan itu akan disalurkan melalui Palang Merah Amerika yang berpangkalan di Amerika Syarikat sebagai bantuan kepada mangsa bencana, lapor agensi berita Kyodo yang memetik Kementerian Luar Jepun.

Menurut seorang pegawai kementerian, dana tersebut akan digunakan untuk menubuhkan pusat pemindahan, menyediakan makanan, serta menawarkan sokongan psikologi kepada mereka yang terjejas akibat kebakaran di negeri pantai Pasifik Amerika Syarikat itu.

“Jepun akan terus memberikan bantuan aktif untuk meringankan beban mangsa dan memastikan pemulihan kawasan terjejas secepat mungkin,” kata pegawai itu.

Kebakaran yang melanda beberapa kawasan pinggir bandar Los Angeles sejak 7 Jan lepas  mengorbankan lebih 20 orang dan 30 lagi hilang setakat pagi Selasa, menurut pihak berkuasa tempatan.

Cuaca kering dan angin kencang mempercepatkan kebakaran itu, yang masih tidak terkawal, sehingga memaksa kira-kira 88,000 penduduk meninggalkan kediaman mereka.

Di kawasan seperti Pacific Palisades dan Altadena, lebih 12,000 bangunan rosak dan lebih 150 kilometer persegi tanah terbakar.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan