WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Forum Kewangan Masa Depan 2025: Inisiatif ARIM Perkasa Generasi Pemimpin Akan Datang

15/01/2025 06:52 PM

JOHOR BAHRU, 15 Jan (Bernama) -- Forum Kewangan Masa Depan 2025 merupakan inisiatif oleh AmanahRaya Investment Management (ARIM) yang direka untuk melengkapkan pelajar universiti dengan kemahiran celik kewangan yang penting.

Forum itu juga bertujuan untuk memupuk generasi pemimpin akan datang yang beretika, bertanggungjawab dan berdaya.

Pengerusi ARIM Mohd Razlan Mohamed berkata forum itu yang dilancarkan hari ini, memulakan perjalanan penting ke arah memupuk masa depan yang lebih cerah kepada semua yang terlibat.

Beliau berkata forum itu mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi ARIM untuk berkongsi pengetahuan, mengukuhkan hubungan dan memupuk kepercayaan dalam kalangan masyarakat.

"ARIM percaya pendidikan adalah kunci kepada perubahan. Dengan melengkapkan pelajar pengetahuan kewangan, kami membolehkan mereka mengatasi halangan dan mencipta laluan kepada kejayaan.

“Inisiatif ini mencerminkan nilai teras ARIM iaitu integriti, tanggungjawab dan penglibatan komuniti. Misi kami bukan hanya untuk mendidik tetapi untuk memberi inspirasi kepada generasi akan datang memimpin secara beretika dan memacu perubahan yang bermakna,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Mohd Razlan juga berkata inisiatif ini sejajar dengan visi ARIM untuk memupuk hubungan yang bermakna dengan pelanggan dan masyarakat sambil memperjuangkan kepimpinan pemikir dalam industri kewangan.

“Dengan menangani cabaran khusus yang dihadapi oleh pelajar universiti, program ini menyediakan mereka peralatan dan pengetahuan yang diperlukan untuk membentuk masa depan yang lebih cerah dan lebih inklusif.

"Saya dimaklumkan 60 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghadiri forum hari ini, kebanyakan mereka daripada fakulti perniagaan dan kewangan," katanya.

Dalam kalangan mereka itu, 20 pelajar terpilih adalah daripada kumpulan khas yang memerlukan bantuan.

“Kami bukan hanya menyediakan aset-aset fizikal; kami memberikan komputer riba yang dilengkapi dengan modul kewangan selama empat bulan.

“Kami berharap 20 pelajar terpilih ini akan memperoleh manfaat yang besar. Pada separuh kedua tahun ini, kami akan mengadakan satu lagi program serupa dengan tema yang berbeza dan dengan kerjasama institusi-institusi pengajian di sekitar Lembah Klang," kata Mohd Razlan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ARIM Mohamad Shafik Badaruddin berkata objektif forum itu adalah untuk memastikan rakyat Malaysia diperkasakan bagi mengurus kewangan mereka dengan lebih baik pada masa hadapan.

"Forum ini merupakan siri pertama yang kami rancang untuk dilancarkan pada masa hadapan. Tema forum julung kali ini ialah ‘Kesejahteraan Kewangan: Memperkasa Rakyat Malaysia Ke Arah Keterangkuman Ekonomi’.

"Apa yang mendorong kami ialah statistik yang membimbangkan mengenai cara belia Malaysia menguruskan kewangan mereka. Kami juga telah memantau kes muflis dalam kalangan belia, yang sejak empat tahun lalu berjumlah sekitar 10,500 kes," katanya.

Mohamad Shafik berkata sebagai syarikat pengurusan aset, adalah menjadi tanggungjawab ARIM untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dengan mendidik belia Malaysia mengenai hal-hal kewangan.

Sehubungan itu, Mohamad Shafik berkata ARIM akan memulakan program celik kewangan selama empat bulan yang dikenali sebagai “Rising Grads Malaysia” pada Jun tahun ini.

Program ini direka khusus untuk memperkasakan pelajar-pelajar terpilih dengan pengetahuan, kemahiran dan keyakinan yang penting untuk mengurus kewangan mereka dengan berkesan, sejajar dengan matlamat ARIM untuk melengkapkan pelajar dengan pengetahuan, kemahiran dan minda bagi membuat keputusan kewangan termaklum dan mencapai kesejahteraan kewangan sepanjang hayat.

"Program ini direka dengan teliti oleh jurulatih terpilih kami dan menjangkau lebih empat bulan. Pelajar terpilih akan menjalani latihan mengurus kewangan mereka dengan sesi bulanan diketuai oleh jurulatih peribadi.

“Pelajar ini akan menerima bimbingan secara peribadi. Celik kewangan adalah sesuatu yang kami ambil serius, dan kami sampai ke tahap melatih pelajar secara peribadi. Dengan sumbangan komputer riba itu, jumlah pelaburan kami dalam program ini adalah sekitar RM100,000, yang saya percaya adalah jumlah yang ketara dan memberi kesan kepada tujuan murni ini,” kata Mohamad Shafik.

Dalam perkembangan lain, Mohd Razlan berkata sehingga 31 Dis, 2024, aset di bawah pengurusan (AUM) ARIM meningkat kepada RM7.7 bilion, mencerminkan rekod prestasi kukuh syarikat dalam industri.

ARIM, anak syarikat milik penuh AmanahRaya Bhd diperbadankan pada Julai 1994.

Dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, ARIM menawarkan mandat patuh syariah dan konvensional merentas pelbagai kelas aset, memberi perkhidmatan kepada pelanggan yang pelbagai termasuk dana pencen, syarikat insurans, agensi kerajaan dan individu bernilai tinggi.

"Kami menguruskan aset bernilai RM7.7 bilion dan kami syarikat pengurusan aset terbesar di Malaysia yang bukan bersandarkan kepada bank. Kami secara konsisten mencatat keuntungan dan menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi negara.

"Dari segi projek masa depan, kami merancang untuk menawarkan produk-produk yang memenuhi pasaran runcit, selain menguruskan dana-dana korporat," katanya.

Pada masa ini, ARIM mempunyai lima produk unit amanah runcit. 

“Ini adalah masa yang menarik untuk individu melabur. Pada tahun ini, kami merancang untuk melancarkan tiga produk unit amanah baharu.

“Salah satu daripada produk ini akan menyediakan akses kepada pasaran antarabangsa, khususnya pasaran Amerika Syarikat, yang memperluaskan lagi penawaran kami untuk merangkumi peluang pelaburan global,” kata Mohamad Shafik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan