WILAYAH - UTARA > BERITA

Naik Taraf Infrastruktur Kampung Angkat MADANI KDN 85 Peratus Selesai

15/01/2025 03:34 PM

LENGGONG, 15 Jan (Bernama) -- Kemajuan pembangunan menaik taraf infrastruktur Kampung Angkat MADANI Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kampung Beng kini pada tahap 85 peratus sejak dipilih dan dilancarkan kementerian berkenaan pada awal tahun lepas.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata semua projek di kawasan berkenaan berjalan lancar mengikut jadual dan kini masih terdapat dua lagi projek sedang dibangunkan iaitu pintu gerbang dan pondok polis Kampung Beng.

“Saya telah pun dimaklumkan oleh (pasukan) pembangunan di KDN dan juga pejabat daerah serta majlis daerah yang menjadi agensi pelaksana sebahagian projek ia akan siap sepenuhnya dalam tempoh sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Penyerahan Bot Pondok Polis Kampung Beng dan Penyerahan Kunci Kuarters Balai Polis Lenggong yang turut dihadiri Pemangku Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat serta Ketua Setiausaha KDN Datuk Awang Alik Jeman di sini hari ini.

Sementara itu, berhubung menjadikan Lenggong Geopark di Perak sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp), beliau berkata pihaknya kini sedang menunggu penilaian oleh jawatankuasa badan berkenaan yang dijangka diketahui menjelang tahun depan.

“Kita dah buat mesyuarat terakhir pada minggu lepas dan ketika ini kita sedang menunggu penilaian dibuat oleh jawatankuasa UGGp yang akan datang di sini, semua bahan-bahan dosier telah pun kita lengkapkan dan ia diketuai oleh Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo dan Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin bersama dengan DO (pegawai daerah), jadi dokumen bahan-bahan penting telah pun kita hantar. 

“Kita optimis Lenggong berkeupayaan kerana mempunyai kriteria dan tapak yang bertaraf antarabangsa yang mempunyai ciri-ciri dan kelayakan dalam pelbagai aspek (sebagai UGGp),” katanya.

Terdahulu pada April tahun lepas, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam memaklumkan pihaknya komited untuk mengangkat Sarawak Delta Geopark di Sarawak dan Lenggong Geopark di Perak sebagai UGGp.

Pengiktirafan itu disifatkan penting dalam usaha kerajaan melonjak lebih banyak Geopark Kebangsaan memperoleh status UGGp yang dilihat mampu memberi impak positif kepada negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan