WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TRAVEX 2025 Menghimpunkan Peserta Dari 42 Negara

15/01/2025 04:59 PM

JOHOR BAHRU, 15 Jan (Bernama) -- Penganjuran ASEAN Travel Exchange (TRAVEX) 2025 yang diadakan bersempena dengan Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, menghimpunkan peserta dari 42 negara, mencerminkan jangkauan luasnya.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata program yang bermula hari ini hingga 20 Jan, akan memberikan peluang kepada negara-negara ASEAN untuk bekerjasama dalam mempromosikan produk pelancongan mereka di peringkat global.

"TRAVEX 2025 melibatkan 221 penjual yang mempamerkan yang terbaik dari pelancongan ASEAN, 323 pembeli dari 42 negara dan 100 wakil media antarabangsa dari 35 negara yang turut serta.

"Ini mencerminkan keyakinan yang semakin berkembang terhadap industri pelancongan ASEAN dan potensi besar untuk kerjasama, membuka pelbagai peluang untuk kolaborasi dan memupuk visi bersama bagi masa depan pelancongan di rantau ini," katanya ketika merasmikan TRAVEX 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Agung Datuk Roslan Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk P. Manoharan.

Tiong berkata kerjasama antara negara-negara ASEAN selaras dengan tema ATF 2025 iaitu "Unity in Motion: Shaping ASEAN's Tourism Tomorrow".

TRAVEX adalah platform perniagaan yang direka untuk membolehkan pembeli dan penjual ASEAN berhubung antara satu sama lain serta meneroka pelbagai produk dan perkhidmatan destinasi yang berbeza.

Sementara itu, Manoharan dalam sidang media selepas majlis pembukaan TRAVEX 2025 berkata Tourism Malaysia menyasarkan kutipan jualan sebanyak RM20 juta menerusi program itu dengan memberi tumpuan beberapa subsektor pelancongan.

"Menerusi program ini, kita juga akan memberikan tumpuan kepada pakej pelancongan produk minat khas atau “special interest” yang kebiasaannya memberikan pulangan lebih berbanding pakej pelancongan biasa.

"Ini termasuk produk seni dan budaya, gastronomi serta sukan ekstrem seperti menyelam dan lain-lain. Ia sekali gus dapat meningkatkan jumlah pelancong bermalam di negara ini," katanya. 

ATF 2025 bertujuan meningkatkan kehadiran pelancong ke ASEAN dengan memupuk rangkaian, perkongsian pengetahuan, dan mempromosikan produk pelancongan serantau, di samping memupuk kerjasama dengan pemain industri global.

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan