BALIK PULAU, 15 Jan (Bernama) -- Polis hari ini menahan seorang lelaki dan seorang wanita dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan berasingan sehingga menyebabkan dua mangsa kerugian lebih RM78,000.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata dalam kes pertama, polis menahan seorang wanita berusia 26 tahun yang menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan yang memperdaya mangsa dalam urusan tawaran kerja sambilan dalam talian yang tidak wujud di Balik Pulau.
"Berdasarkan laporan polis, mangsa telah membuat beberapa transaksi secara dalam talian ke enam akaun yang berbeza termasuk milik wanita itu dengan jumlah keseluruhan RM76,651.69.
”Bagi kes kedua pula, polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan pinjaman wang tidak wujud dalam talian melalui aplikasi Google sehingga mangsa kerugian RM2,000," katanya ketika dihubungi malam ini.
Beliau berkata kedua-dua mereka kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Sazalee berkata polis menahan dua lelaki berusia 41 dan 45 tahun di tepi jalan di Bayan Lepas di sini kerana terlibat dalam kegiatan mencuri kabel sebuah syarikat telekomunikasi.
Beliau berkata polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah menahan dua lelaki itu dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan ke atas mereka menemukan peralatan mencuri kabel.
"Suspek mengaku (peralatan itu) untuk melakukan kegiatan mencuri kabel syarikat telekomunikasi di sekitar Bayan Lepas dan siasatan mendapati mereka mempunyai rekod lampau berkaitan narkotik," katanya.
Kedua-duanya direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial