WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Perkasa Syarikat Pemula, Pacu Penyelesaian Inovatif - Chang

15/01/2025 08:08 PM

CYBERJAYA, 15 Jan (Bernama) -- Malaysia akan berusaha memperkasakan syarikat pemula dengan memudahkan kerjasama dan menggalakkan penyelesaian inovatif yang lebih komersial melalui inisiatif seperti Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup (SUPER) 2021-2030 dan platform MyStartup.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata kementeriannya terus komited dalam mewujudkan pesekitaran yang menyokong kepada inovasi dan keusahawanan. 

Beliau berkata Cyberjaya, yang menjadi hab teknologi global Malaysia dan berfungsi sebagai 'sandbox', memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat tersebut, dengan inisiatif Cyberview Living Lab Accelerator (CLLA) menjadi contoh terbaik yang merapat jurang antara inovasi dan kesan ke atas seluruh rantaian nilai.

“Sejak penubuhannya pada 2013, CLLA telah memainkan peranan dalam memperkasa lebih 129 syarikat pemula, meraih lebih RM263 juta dalam bentuk pelaburan dan menjana pendapatan RM837 juta yang memberangsangkan,” katanya.

Chang berkata demikian di Hari Demo CLLA Kohort ke-19 dan sambutan ulang tahun ke-10 program berkenaan di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Cyberview Sdn Bhd Datuk Romli lshak dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Kamarul Ariffin Abdul Samad.

Chang berkata Cyberview, sebagai pemaju hab teknologi dan pembina ekosistem Cyberjaya, sentiasa membuka jalan bagi inisiatif rintis seperti yang dilakukan oleh CLLA, yang menjadi satu daripada program pemacu terawal di Malaysia. 

“Inovasi adalah asas kepada kemajuan dan syarikat pemula menjadi nadi kepada ekonomi yang berkembang pesat. Malaysia telah mencapai kemajuan dalam menjadikan negari ini sebagai hab bagi inovasi dan keusahawanan, dan program seperti CLLA memainkan peranan penting dalam mencapai misi tersebut.

“Melalui penyediaan sumber, panduan dan rangkaian yang diperlukan syarikat pemula untuk berkembang, kita telah meletakkan asas ekonomi yang berdaya tahan dan berasaskan teknologi,” katanya.

Chang berkata CLLA melengkapkan usahawan dengan sumber kritikal seperti modal insan, pembiayaan, bimbingan, infrastruktur dan akses pasaran bagi memastikan mereka bersedia untuk berjaya dalam landskap yang semakin kompetatif. 

Acara pada hari ini juga untuk meraikan pencapaian 10 syarikat pemula terbaik daripada Kohort ke-19 CLLA, yang dipilih daripada hampir 100 pemohon selepas program selama lima bulan itu. 

Syarikat berkenaan berjaya merintis penyelesaian dalam pelbagai industri daripada inovasi bahan mampan dan penjagaan kesihatan hingga kepada platforam dipacu kecerdasan buatan (AI) dan kemajuan Internet Kebendaan (IoT) . 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan