WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Nahas Km204: Kertas Siasatan Syarikat Lori Disyaki Punca Kemalangan Telah Dilengkapkan

16/01/2025 10:11 AM

MELAKA, 16 Jan (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka telah melengkapkan kertas siasatan terhadap syarikat lori yang disyaki punca kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer (KM) 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara pada 23 Dis lepas.

Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff berkata pengusaha syarikat lori itu telah dipanggil untuk membantu siasatan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

“Kertas siasatan terhadap syarikat lori dari Johor yang disyaki menjadi punca kemalangan itu dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya awal minggu ini untuk tindakan selanjutnya.

“Namun kita masih menanti keputusan pihak Timbalan Pendakwa Raya dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kemudian,” katanya kepada pemberita di Batu Berendam di sini malam tadi.

Terdahulu beliau mengetuai Operasi Bersepadu Khas bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Media sebelum ini melaporkan tujuh maut manakala 33 cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM204 Lebuhraya PLUS arah utara, baru-baru ini.

Siasatan awal mendapati bas persiaran tersebut terlanggar tayar lori yang tercabut di lorong tengah dan menyebabkannya hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan tiga kenderaan.

Kejadian itu menyebabkan lima penumpang Toyota Estima dan pemandu bas serta penumpangnya meninggal dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan