WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPKT Komited Capai Kecemerlangan 2025 Dengan Konsep "Greater Heights" - Nga

16/01/2025 11:40 AM

PUTRAJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited untuk mencapai kecemerlangan pada 2025 melalui penerapan konsep nilai “greater HEIGHTS”, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata konsep ini menjadi teras motivasi bagi warga KPKT dalam menghadapi cabaran dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat.

“Nilai ‘greater HEIGHTS’ ini merangkumi Humility (rendah hati), Ethics (etika), Integrity (integriti), Gung-ho (semangat kerja keras), Honesty (kejujuran), Teamwork (kerjasama), dan Success (kejayaan).

“Ia adalah aspirasi untuk membawa kementerian ke tahap kecemerlangan yang lebih tinggi,” katanya dalam Amanat Tahun Baharu 2025 di ibu pejabat KPKT di sini, hari ini.

Menurut Nga konsep ini menekankan elemen penting seperti integriti, mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Al-Khattab dan Khalifah Umar Abdul Aziz dalam pentadbiran, serta semangat kerja keras dan keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab.

“Budaya perubahan ke arah kebaikan yang berterusan perlu diamalkan dalam kerja seharian, seperti konsep hijrah dalam Islam yang meliputi perubahan fizikal, pemikiran, emosi, dan spiritual,” tambahnya.

Beliau turut berkongsi kejayaan KPKT sepanjang 2024, termasuk menerima Anugerah Pembangunan Negara buat kali pertama, yang menjadi bukti komitmen kementerian dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.

Melangkah ke tahun 2025, KPKT akan memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dengan menganjurkan pelbagai program berimpak tinggi di peringkat serantau seperti Persidangan Harta Tanah ASEAN, Forum Urbanisasi Lestari ASEAN (ASUF), Forum Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (AGMF), serta Mesyuarat Tahunan Rangkaian Bandar Pintar ASEAN ke-8 (ASCN 8).

Dalam usaha mengangkat martabat Malaysia ke persada dunia, kementerian ini juga akan membida jawatan Presiden Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi penggal 2026 hingga 2029.

“Di peringkat nasional, fokus turut diberikan kepada pindaan undang-undang berkaitan hukuman khidmat masyarakat bagi pesalah yang membuang sampah kecil, selain meningkatkan sistem pengurusan sampah dan melatih lebih ramai pakar berkemahiran tinggi,” katanya.

Nga menegaskan bahawa 2025 adalah tahun penghijrahan bagi KPKT dalam memperkasakan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat serta melonjakkan kementerian ke tahap berprestasi tinggi.

“KPKT akan terus menjadi kementerian yang relevan dan inovatif, menjadikan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan