WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM Anwar Lancar Ladang Solar Tenaga Boleh Baharu TNB Di UK

17/01/2025 07:06 AM

Daripada D.Arul Rajoo

LONDON, 17 Jan (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) terus memacu perkembangan pesat Malaysia dalam pasaran tenaga boleh baharu (RE) global dengan pelancaran ladang solar berkapasiti 102 megawatt (MW) Eastfield dan Bunkers Hill di United Kingdom (UK).

Ladang solar itu dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.

Perbadanan utiliti nasional itu mempunyai portfolio kasar RE (terutamanya daripada aset penjanaan tenaga solar dan angin) berjumlah 1.3 gigawatt (GW) dalam operasi dan pembangunan di seluruh UK dan Ireland, serta 3.2 GW di Semenanjung Malaysia (termasuk 2.5 GW hidro besar).

Bunkers Hill di Rotherwick (66.7 megawatt puncak (MWp) dan Eastfield di Harbury (35 MWp) itu merupakan ladang solar canggih dan inovatif. Kedua-dua ladang solar itu dengan gabungan kapasiti 102 MW menonjolkan kepakaran Malaysia dalam memacu penyelesaian tenaga lestari di seluruh dunia. 

Kedua-dua ladang solar dengan gabungan kapasiti 102 MW itu disasar mencapai Tarikh Operasi Komersial (COD) pada awal tahun ini.

Projek tersebut yang disokong oleh skim Kontrak-bagi-Perbezaan (CfD) 15 tahun yang diperoleh pada Julai 2022 itu akan memastikan kestabilan hasil melalui penetapan harga tetap untuk penjanaan RE sambil melindungi pelabur daripada turun naik pasaran.

Pada masa ini TNB memiliki, membangun, dan mengendalikan aset RE di seluruh UK dan Ireland, termasuk projek solar darat, tenaga angin luar pesisir dan bateri.

Dua projek pembangunan solar tapak baharu yang baru siap itu, sebaik sahaja mencapai COD, akan meningkatkan jumlah kapasiti penjanaan TNB di UK kepada 908 MW.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata TNB berbangga dengan sumbangannya kepada sektor TBB ketika syarikat itu meluaskan kehadirannya bukan sahaja di Malaysia dan UK, tetapi juga di pasaran global lain.

“Kami berhasrat untuk memanfaatkan kepakaran yang telah kami bina sejak 75 tahun lalu dengan menerima pakai kemajuan teknologi dan mengutamakan pembangunan bakat,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis pelancaran tersebut.  

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan