KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan pelarasan bayaran pencen berdasarkan gaji akhir kepada pesara mengikut Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam 2016, yang berkuat kuasa, mulai Januari 2022.
Ketika membenarkan semakan kehakiman oleh pesara penjawat awam, Aminah Ahmad, Hakim Datuk Amarjeet Singh mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kerajaan untuk membayar tunggakan pencen dalam tempoh tiga bulan, bermula dari hari ini
Peguam Persekutuan M. Kogilambigai yang mewakili responden, telah memohon secara lisan untuk penangguhan keputusan itu tetapi permohonan tersebut ditolak.
Bagaimanapun, hakim memerintahkan supaya beliau memfailkan permohonan bertulis untuk penangguhan, agar mahkamah dapat menetapkan tarikh untuk pendengaran.
Aminah, yang bersara sebagai penjawat awam di Kementerian Luar Negeri, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 12 Jan tahun lalu, atas kapasiti beliau sendiri dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam.
Aminah memohon perintah mandamus bagi memaksa responden mempercepatkan pelarasan pencen kepada jumlah yang layak mengikut formula yang terkandung dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Pelarasan Pencen 1980 (PAA 1980) sebelum pindaan dibuat di bawah Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA 2013).
Aminah juga memohon perintah untuk responden membayar tunggakan pencen dalam tempoh 14 hari, selain perintah deklarasi yang menyatakan kegagalan membayar melanggar Perlembagaan Persekutuan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial