WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tiga Rakan Didakwa Edar Lebih 1.9kg Dadah

16/01/2025 04:34 PM

TELUK INTAN, 16 Jan (Bernama) -- Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah lebih 1.9 kilogram (kg), awal tahun ini.

Tertuduh Mohamad Hafis Abu Bakar, 39, Muhamad Aliff Saidin, 34, dan Muhammad Aiman Afiq Muhamad Yusri, 27, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh.

Ketiga-tiga mereka didakwa mengedar 1,918 gram methaphetamine di kawasan parkir sebuah pasar raya di Jalan Changkat Jong, Teluk Intan dalam daerah Hilir Perak kira-kira 2.50 petang pada 6 Jan.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum dengan tidak kurang 15 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izzuddin Fakri Hamdan manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam dan tidak dibenarkan jaminan kerana pertuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Majistret Naidatul Athirah Azman kemudian menetapkan 19 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan kimia.

Terdahulu media melaporkan pihak polis ketika menahan kesemua tertuduh turut menemukan dua bungkusan plastik hijau yang di dalamnya terdapat dadah jenis syabu seberat 1.918kg dianggarkan bernilai RM65, 212.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan