BEIJING 16 Jan (Bernama-CMG) -- Hubungan diplomatik China-Sri Lanka yang kini telah terjalin selama 68 tahun berkembang dengan sihat dan stabil, kata Presiden China Xi Jinping.
Beliau menyatakan perkara itu ketika mengadakan perbincangan dengan Presiden Sri Lanka Anura Kumara Dissanayake yang dalam lawatan di sini pada Rabu.
Xi berkata China sentiasa mengutamakan Sri Lanka dalam dipomasi kejiranan dan bersedia memperkukuh kepercayaan politik, berkongsi pengalaman tentang tadbir urus negara serta meningkatkan dialog dan komunikasi antara jabatan.
"Usaha China dalam memperincikan pelaksanaan dasar pembaharuan secara menyeluruh untuk memajukan modenisasi ala China akan membawa peluang baharu kepada pembangunan Sri Lanka.
"China akan meningkatkan sokongan kepada Sri Lanka dalam memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan mengeratkan kerjasama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang menekankan pembangunan berkualiti terutama memfokuskan bidang baharu seperti pertanian moden, ekonomi digital dan ekonomi marin.
"Kedua-dua pihak juga diharap meningkatkan pertukaran sosiobudaya untuk membantu rakyat kedua-dua negara saling mengenali hati dan budi masing-masing," kata Xi.
Mengulas lanjut, Xi berkata China bersedia bersama dengan Sri Lanka mengukuhkan penyelarasan dan kerjasama dalam mekanisme pelbagai hala, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk bersama-sama menangani isu-isu utama mengenai perkembangan umat manusia seperti perubahan iklim.
Beliau menyeru untuk menjana impak sosial di persada Selatan Global supaya dapat menyumbang kepada keamanan, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran serantau.
Dissanayake dalam pertemuan itu pula menyatakan bahawa Sri Lanka amat mementingkan perkembangan hubungan dengan China, rakan yang boleh diyakini bagi negaranya, dan konsisten dalam mengamalkan prinsip Satu China.
Beliau berkata Sri Lanka bersedia meningkatkan kerjasama dengan China dalam bidang infrastruktur, sumber tenaga, pertanian, kewangan, pembasmian kemiskinan, transformasi digital, pelancongan, marin dan latihan bakat profesional.
--BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial