GEORGE TOWN, 16 Jan (Bernama) -- Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) sedang menyediakan tiga kajian terperinci untuk dikemukakan kepada kerajaan ASEAN mengenai Prospektus IPO ASEAN, satu daripada 12 inisiatif yang diumumkan hari ini.
Pengerusi ASEAN-BAC 2025, Tan Sri Nazir Razak berkata, majlis itu bekerjasama dengan firma perunding pengurusan global, McKinsey & Company, untuk mengetengahkan peranan kritikal industri pasaran swasta dalam ekonomi, yang masih kurang dibangunkan di ASEAN.
“Kami akan mengesyorkan langkah untuk mempercepat pertumbuhannya. Selain itu, Bain & Company, sebuah firma perunding pengurusan utama, sedang bekerjasama dengan kami dalam isu mobiliti bakat, yang mana kami menyasar untuk mengutamakan mobiliti belia - pelajar dan pelatih.
“Pusat Filantropi Asia juga bekerjasama dengan kami untuk mengkaji amalan terbaik dalam filantropi (kedermawanan) korporat di seluruh rantau ini.
"Ini akan membantu memperbaiki peraturan, pengawalseliaan dan insentif negara-negara dalam bidang filantropi, membolehkan lebih banyak dana korporat disalurkan untuk membantu mereka yang memerlukan dan menjadikan ASEAN lebih inklusif,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis pelancaran Kepengerusian ASEAN-BAC 2025 di sini, malam ini.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, susulan majlis penyerahan bendera daripada ASEAN-BAC Laos, yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Nazir, yang juga pengerusi ASEAN-BAC Malaysia, berkata ASEAN-BAC sedang bekerjasama dengan pengawal selia sekuriti mengenai idea mudah untuk menawarkan Prospektus IPO ASEAN sebagai pilihan kepada syarikat yang ingin membuat penyenaraian di bursa negara mereka sendiri.
Menurutnya, inisiatif ini akan membolehkan mereka mengumpul dana daripada mana-mana pelabur di pasaran yang mengiktiraf Prospektus IPO ASEAN.
Beliau berkata walaupun kecil, inisiatif ini akan menjadi langkah bermakna ke arah menyepadukan pasaran modal ASEAN.
Terdahulu hari ini, ASEAN-BAC melancarkan 12 inisiatif strategik, termasuk rangka kerja Entiti Perniagaan ASEAN (ABE), Inisiatif Pasaran Modal Swasta ASEAN, Prospektus IPO ASEAN, Pembangunan Bakat dan Mobiliti ASEAN, Rangka Kerja Bersama Karbon ASEAN, Platform Bursa Digital Malaysia, Inisiatif B2B Connect, Inisiatif Identiti ASEAN, dan Rangka Kerja Filantropi Korporat ASEAN, untuk meningkatkan penyepaduan ekonomi, keterangkuman dan kerjasama serantau.
Sementara itu, Nazir, yang mengambil alih pengerusian daripada ASEAN-BAC Laos di bawah penerajuan Oudet Souvannavong, turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Oudet dan pasukannya atas kepimpinan dan kejayaan yang dicapai ASEAN-BAC pada 2024.
“ASEAN-BAC Malaysia berbesar hati dan teruja untuk menjadi pengerusi baharu ASEAN-BAC.
"Sebagai badan sektor swasta utama yang berinteraksi dengan kerajaan dan Sekretariat ASEAN, ASEAN-BAC berfungsi sebagai platform utama untuk memacu penyepaduan ekonomi ASEAN bagi manfaat ekonomi, syarikat dan rakyat kita,” katanya.
Tema menyeluruh ASEAN-BAC iaitu "Menyatukan Pasaran untuk Kemakmuran Bersama" selaras dengan rangka kerja MADANI dan tema ASEAN untuk 2025, "Keterangkuman dan Kemampanan."
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial