Oleh Linda Khoo & Rosmalis Anuar
PUTRAJAYA, 17 Jan (Bernama) -- Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia komited menyokong Myanmar dalam merangka laluan ke arah penyelesaian berkekalan terhadap krisis politik dan kemanusiaan yang tercetus susulan rampasan kuasa tentera pada Februari 2021.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin menegaskan bahawa proses perdamaian Myanmar menjadi keutamaan Malaysia.
"Usaha ASEAN tertumpu kepada membantu Myanmar menyelesaikan situasi ini.
"Kami mengiktiraf penyelesaian yang dirangka oleh Myanmar. Bagaimanapun, memandangkan Myanmar adalah anggota ASEAN, adalah tanggungjawab ASEAN untuk membantu Myanmar mencari jalan penyelesaian terhadap situasi semasa," katanya pada sidang media.
Tumpuan kini terarah kepada pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Malaysia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN tahun ini, dengan harapan tinggi terhadap peranan negara dalam memacu kemajuan serantau.
Myanmar berada dalam keadaan bergolak sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 yang menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi, mencetuskan protes besar-besaran yang berkembang menjadi pemberontakan bersenjata.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) menyatakan bahawa konflik antara Angkatan Bersenjata Myanmar (MAF) dan pelbagai kumpulan etnik serta kumpulan penentang terus berlaku di Rakhine, timur laut, barat laut dan tenggara negara itu.
Dalam Kemas Kini Kemanusiaan Myanmar, OCHA melaporkan jumlah keseluruhan orang yang dipindahkan di dalam negara (IDP) melebihi 3.5 juta orang pada penghujung 2024.
Mengenai Konsensus Lima Perkara (5PC) yang bertujuan menangani krisis kemanusiaan di Myanmar, Amran menegaskan bahawa ASEAN bertanggungjawab memastikan pelaksanaannya.
"Penilaian telah dilakukan dari semasa ke semasa, termasuk pelantikan Utusan Khas ASEAN ke Myanmar. Usaha ini akan diteruskan," katanya sambil menambah keperluan memperluaskan usaha tersebut melangkaui penyelarasan intra-ASEAN.
"Kita perlu mendapatkan sokongan daripada rakan-rakan lain yang menyokong usaha ASEAN dalam membawa penambahbaikan di lapangan di Myanmar," tambahnya.
5PC dipersetujui pada Mesyuarat Pemimpin ASEAN pada April 2021, dua bulan selepas tentera merampas kuasa daripada kerajaan awam yang dipilih secara demokratik.
Lima perkara konsensus ialah: penamatan segera keganasan, dialog antara semua pihak, pelantikan utusan khas, penyediaan bantuan kemanusiaan oleh ASEAN dan membenarkan utusan khas ASEAN melawat Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak.
Amran berkata tiga elemen utama - pemberhentian keganasan, dialog politik inklusif dan bantuan kemanusiaan - kekal relevan sehingga kini.
"Kami bekerjasama dengan semua rakan di ASEAN serta Myanmar, untuk membantu mereka menyelesaikan masalah ini," katanya.
Sementara itu, Amran memaklumkan bahawa Utusan Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar akan diumumkan pada Permukiman AMM di Langkawi hujung minggu ini.
Apabila ditanya mengenai pelantikan utusan khas ASEAN ke Myanmar secara tetap, Amran berkata “perkara ini perlu dibincangkan secara kolektif di peringkat ASEAN”.
Pada masa ini, utusan khas dilantik oleh Pengerusi ASEAN.
Berhubung Laut China Selatan, Amran berkata ASEAN dan China akan terus berusaha memastikan pelaksanaan Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) dan memuktamadkan rundingan mengenai Kod Tatalaku (COC) di perairan yang dipertikaikan.
Beliau berkata ASEAN dan China baru-baru ini menyelesaikan pembacaan ketiga teks rundingan tunggal COC, namun beberapa isu mencabar masih perlu dibincangkan untuk mencapai konsensus terhadap teks tersebut.
"Namun kami akan teruskan rundingan ini. Apa yang penting sekarang adalah memastikan keamanan dikekalkan di Laut China Selatan dan setiap pihak mesti menghormati undang-undang antarabangsa," katanya.
Amran berkata kepentingan utama ASEAN adalah mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan, dengan usaha yang dipandu oleh undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial