KLANG, 18 Jan (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh optimis sekiranya Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Joehari Mohd Ayob dipilih peneraju baharu FAM dan mampu membawa skuad Harimau Malaya ke peringkat lebih tinggi.
Hannah berkata jika Mohd Joehari diberi mandat untuk menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin, bermakna beliau calon yang layak untuk memegang jawatan berkenaan dan mampu menjalankan tugasnya dengan baik.
“Datuk Johari merupakan ahli lembaga (board member) kami di Perbadanan Stadium Malaysia dan saya percaya kalau beliau telah diberi mandat oleh jawatankuasa sendiri, bermaksud beliau telah diberi kepercayaan untuk memimpin.
“Dan saya yakin Datuk Joehari bersama jawatankuasa sedia ada mereka boleh membawa Harimau Malaya ke peringkat seterusnya,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian skuad bawah 19 tahun ke Piala Dunia T20 B-19 di Bayuemas Cricket Oval di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohamad Said mengumumkan Mohd Joehari adalah calon tunggal bagi kerusi nombor satu itu sehingga pencalonan bagi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif ditutup 5.30 petang pada Khamis.
Senarai itu juga menyaksikan dua penyandang Timbalan Presiden Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram bakal mengekalkan jawatan, menurut kenyataan dikeluarkan FAM semalam.
Penyandang Presiden FAM sejak 2018, Hamidin sebelum ini mengumumkan tidak mempertahankan jawatan untuk memberi laluan kepada individu baharu untuk melonjakkan persatuan itu ke tahap seterusnya.
Dalam pada itu, Hannah berharap kongres pemilihan bagi penggal 2025-2029 pada 15 Feb depan tidak akan mengganggu proses penubuhan Pusat Latihan Nasional (NTC) yang sedang dijalankan di Putrajaya.
Hannah turut berkata dana gandaan daripada RM15 juta kepada RM30 juta yang diumumkan oleh kerajaan khusus untuk pembangunan skuad kebangsaan akan dipantau pihaknya dari segi penggunaanya oleh persatuan badan induk itu.
“Penambahan RM15 juta Harimau Malaya telah diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dan perbincangan lanjut akan dilakukan mengenai mode of payment dan pemantauan penggunaan dana berkenaan.
“Memang telah diputuskan sebelum ini bahawa Kementerian Kewangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memantau penggunaan bajet yang diumumkan Perdana Menteri itu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial