WILAYAH - SABAH > BERITA

Studio TEKUN TikTok Shops Pertama Di Malaysia Bakal Dibuka Di Sabah

18/01/2025 05:04 PM

PENAMPANG, 18 Jan (Bernama) -- Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bakal membangunkan studio TEKUN TikTok Shop yang pertama di Malaysia terletak di Penampang, Sabah.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata studio itu yang ditempatkan di Pejabat TEKUN Cawangan Penampang itu kini dalam proses pengubahsuaian dan akan dirasmikan pada 16 Feb. 

“Ini inisiatif kerajaan melalui kementerian dengan kerjasama TikTok Malaysia untuk membawa Sabah kepada satu cara perniagaan baharu.

“Walaupun ini bukan baharu bagi sebahagian usahawan kerana sebelum ini mungkin mereka sudah biasa menjual produk dan perkhidmatan secara dalam talian menggunakan media sosial masing-masing tetapi kita mahu mempermudah dengan menyediakan studio,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Asas Keusahawanan TEKUN Nasional di sini hari ini.

Ewon berkata pewujudan studio itu adalah projek rintis sebelum mengembangkan ke seluruh negara.

“Saya berharap penyediaan studio yang lengkap dan dengan sokongan platform besar seperti TikTok Malaysia, ia akan menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada keperluan usahawan kita, khususnya di Sabah.

“Kita bermula dulu dengan satu studio di Sabah dan selepas itu kita akan teliti dan buat penilaian projek ini sebelum memperluas ke setiap negeri di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata selain Penampang, satu lagi studio akan dibina dalam masa terdekat iaitu di Ibu Pejabat TEKUN Kuala Lumpur.

Mengenai aspek garis panduan untuk menggunakan studio itu, Ewon berkata TikTok Malaysia serta TEKUN Nasional telah melaksanakan kursus melibatkan beberapa usahawan sebelum ini dan ia akan diteruskan.

Pemilihan Sabah sebagai lokasi pertama kerana beliau mahu negeri ini dikenali sebagai negeri berpendapatan tinggi dan tidak lagi dikategorikan sebagai mempunyai daftar kemiskinan tinggi.

“Kementerian dan agensi akan terus melaksanakan amanah membangunkan sektor keusahawanan dan koperasi di seluruh negara melalui inisiatif baharu sesuai dengan situasi dan keperluan semasa,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan